Kepong BC kejutkan Ampang Jaya BC
NAIB juara SS Purple League (SSPL) musim lalu, Kelab Badminton (BC) Kepong sekali lagi mengulangi pencapaian mara ke pentas final apabila mengejutkan pasukan pilihan, Ampang Jaya BC pada separuh akhir di Arena Of Stars, Resorts World Genting tadi.
Dalam aksi itu, Kepong BC yang dibimbing Mohd Zakry Abdul Latif membuat kejutan besar dengan menewaskan Ampang Jaya BC 12-8 yang mana kekalahan pertama Ampang Jaya BC musim ini sekaligus meranapkan impian untuk ke pentas akhir walaupun cemerlang dalam pusingan pertama SSPL sebelum ini.
Ketua jurulatih Kepong BC, Mohd Zakry Latif berkata, “Alhamdulilah saya sangat gembira kerana pemain mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk menang. Perancangan kita untuk mengambil kesempatan di atas ketiadaan beberapa pemain utama Ampang Jaya BC digunakan sebaik mungkin tadi.”
“Sebenarnya target kami memang final, apabila dah sampai ke tahap ini harapan sememangnya adalah untuk menjadi juara SSPL. Saya kagum dengan semangat pemain yang tidak pernah berputus asa dan tentulah saya harap semangat itu akan dibawa ke final Ahad ini,”ujar Zakry selepas perlawanan.
Bagi pengurus Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong pula menyifatkan tuah tidak memihak pasukannya dalam separuh akhir SSPL berkenaan.
Khek Mong berkata, “Saya tidak mampu berkata apa-apa dengan kekalahan tadi kerana saya rasakan kami mempunyai peluang yang baik untuk melangkah. Pemain telah bersedia dengan sebaiknya dan begitu gigih untuk mendapatkan kemenangan.”
“Apa yang saya boleh katakan ketika ini adalah perjuangan kita belum berakhir kerana masih ada perebutan tempat ketiga dan keempat esok dan perlu bersedia untuk musim depan.
“Salah satu punca kekalahan adalah ketiadaan pemain utama yang ke Indonesia Masters. Apapun, saya telah mencari pemain terbaik untuk menggantikan tempat mereka dari Perancis dan sebagainya, Cuma kami tiada tuah hari ini,” kata Khek Mong.
Dalam aksi perseorangan lelaki, pemain Kepong BC, Soong Joo Ven mengejutkan pemain baru Ampang Jaya BC yang juga pemain nombor satu Perancis, Brice Leverdez. Joo Ven menang 3-2 (11-5, 11-7, 6-11, 9-11, 11-8) dalam aksi yang berlangsung sengit.
Selepas itu, giliran Qin Jin Jing pula melebarkan kedudukan Kepong BC menerusi acara perseorangan wanita apabila menang tipis 3-2 (11-8, 11-8, 4-11, 5-11, 4-2) dalam masa 30 minit mengecewakan pemain Ampang Jaya BC dari Indonesia, Hanna Ramadini.
Kepong BC terus menguasai aksi beregu lelaki selepas itu menerusi gandingan Mads Conrad Petersen- Rian Agung Saputro yang mengatasi Chooi Kah Ming- Low Juan Shen juga dengan 3-2 (11-7, 9-11, 11-7, 9-11, 5-2) dalam pertarungan sengit selama 30 minit seterusnya meletakkan Kepong BC mendahului perlawanan dengan keputusan semasa 9-6.
Kejayaan Kepong BC disempurnakan oleh pasangan beregu campuran, Cheah Yee See- Ricky Karandasuwardi apabila menumbangkan pasangan Ampang Jaya BC, Chau Hoi Wah- Lukhi Apri Nugroho 3-2 (11-9, 8-11, 11-6, 9-11, 11-9) bagi menjadikan Kepong BC menang 12-8 sekaligus menempah tiket ke final.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!