Nasib nelayan kecil di Terengganu terbela
KUALA TERENGGANU - Nasib 800 nelayan kecil iaitu nelayan pantai (zon A) di Terengganu terbela setelah permohonan lesen untuk mereka beroperasi sejak 35 tahun lalu diluluskan.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, permohonan itu diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melalui Jabatan Perikanan Malaysia.
Beliau berkata, lesen bagi nelayan pantai itu dijangka akan diserahkan dalam tempoh sebulan.
"Buat masa ini terdapat beberapa prosedur yang perlu diselesaikan melibatkan proses dokumentasi dan kita jangka akan serahkan lesen kepada mereka dalam tempoh sebulan lagi.
"Penyerahan lesen bagi nelayan-nelayan ini akan dilakukan dalam satu majlis yang akan diumumkan selepas ini," katanya kepada pemberita program melabuh unjam myKP Kuala Ibai dan myKP Chendering di sini semalam.
Menurutnya, kerajaan telah mengenalpasti 800 buah sampan yang belum dilesenkan merangkumi 1,600 nelayan dengan purata dua nelayan bagi setiap sebuah sampan.
"Kesemua nelayan ini adalah nelayan tulen yang dikenal pasti melalui proses pemutihan yang dijalankan sebelum ini.
"Maksud nelayan tulen adalah mereka yang aktif dan turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun.
"Kita nak lesenkan mereka yang sudah menjadi nelayan sejak berpuluh tahun lalu malah ada antara mereka sudah 35 tahun tidak pernah ada lesen walaupun aktif turun ke laut," katanya.
Beliau berkata, program dilaksanakan itu termasuk dalam langkah untuk membasmi kemiskinan dalam kalangan nelayan.
"Untuk membasmi kemiskinan bukan hanya memberi bantuan secara 'one off' atau dalam bentuk barangan. Langkah ini antaranya mencari punca mengapa beberapa hak nelayan dinafikan.
"Apabila tiada lesen mereka dinafikan untuk dapat hak sebagaimana nelayan lain antaranya subsidi minyak, elaun sara hidup, bantuan bencana dan pelbagai kemudahan lain.
"Langkah diambil kerajaan ini sekaligus dapat menyelesaikan antara masalah besar dialami nelayan kecil di Terengganu selama ini," katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri membentuk satu pasukan 'task force’ bersama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan-persatuan nelayan kawasan bagi membuat pemutihan dengan mengenal pasti nelayan tulen yang aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!