Calon BN mahu teruskan perjuangan Mohd Khusairi
SHAH ALAM – Calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz, 43, tidak mempertaruhkan manifesto bulan dan bintang, sebaliknya mahu meneruskan agenda pembangunan dan pendidikan yang diperjuangkan Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib sebelum ini.
Pemangku Ketua Bahagian UMNO Tanjung Malim itu juga mahu memastikan kebajikan rakyat terutama di kawasan Felda dan kampung tradisional terjamin seiring dengan pembangunan yang dilaksanakan.
"Saya mahu meneruskan perjuangan Allahyarham dari segi pembangunan, pendidikan dan pelbagai lagi. Kita akan cuba atur seperti mana yang kita ingin melihat iaitu kebajikan rakyat di Felda dan kampung tradisional, akan kita ketengahkan.
"Ini adalah untuk memastikan pengundi di sini akan merasakan tempias pembangunan dan tempias daripada khidmat kami kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Wacana Siri ke-187 bertajuk PRK Slim: Calon Bebas hanya buat kacau? yang disiarkan secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.
Katanya, kekangan yang ada menjadi punca sebahagian masalah setempat di DUN Slim tidak dapat diselesaikan.
“Setiap kali turun padang berjumpa dengan pengundi, mereka sering berkongsi masalah mengenai masalah banjir, pembangunan, soal infra, pemilikan tanah dan lain-lain lagi.
“Sebelum ini, kita banyak ketengahkan isu ini dan Allahyarham sendiri memperjuangkan perkara sama dan ada sebahagiannya sudah selesai. Namun soal pemilikan tanah dan infra, ia bukan dapat diselesaikan dalam satu masa yang singkat.
“Kita tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, namun ia akan dapat diselesaikan sekiranya diurus dan ditadbir dengan baik. Kita juga mahu mempertingkatkan pendapatan dan sektor ekonomi penduduk melalui eko pelancongan serta peluang pekerjaan yang sedia ada,” katanya.
Mohd Zaidi lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang syariah juga mahu fokus kepada pembangunan modal insan yang menjadi nadi penting dalam pembangunan negara.
“Potensi dan bakat anak-anak muda ini perlu digilap dan boleh diketengahkan untuk menjadi aset terbesar negara,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai kehadiran dua calon Bebas pada PRK ini, beliau berkata, ia adalah proses demokrasi yang perlu dihormati.
“Kita tidak boleh pandang rendah atau rasa selesa, sebaliknya saya perlu kerja keras. Sebab itu saya sering turun padang bertemu dengan pengundi dan berharap mereka memberi kepercayaan untuk mengundi saya.
“Saya mahu membantu masyarakat DUN Slim dan berjanji akan berikan tawaran terbaik sekiranya mereka memilih BN,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!