Ajal di simpang empat

Motosikal ditunggang mangsa rosak teruk dalam kemalangan di simpang empat di Kilometer 66 Jalan Klang - Teluk Intan, di sini semalam.
Motosikal ditunggang mangsa rosak teruk dalam kemalangan di simpang empat di Kilometer 66 Jalan Klang - Teluk Intan, di sini semalam.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Ford Ranger di simpang empat di Kilometer 66 Jalan Klang - Teluk Intan di sini semalam.

Kejadian pada jam 11.30 pagi itu mengakibatkan mangsa Sjamsul Bahar Ismail, 74, maut ketika menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, hasil siasatan awal polis mendapati mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss MR1 dalam perjalanan dari arah simpang Sungai Sireh ke Sungai Besar manakala pemandu Ford Ranger dari simpang Sungai Sireh ke Bagan Tengkorak.

"Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa membelok ke kanan lalu melanggar bahagian kiri hadapan Ford Ranger yang sedang keluar dari simpang terbabit," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang terjatuh dari motosikal cedera parah kemudian dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.15 petang semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!