Malaysia perlu kuasai teknologi tinggi: Muhyiddin
CYBERJAYA - Malaysia perlu menjadi negara berteknologi tinggi ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, sejarah telah membuktikan betapa kekuatan militari dan empayar ekonomi serta kuasa besar dunia banyak bergantung kepada penguasaan teknologi.
Dalam konteks Malaysia menurutnya, sekitar dua dekad selepas Perang Dunia Kedua, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita negara jauh lebih tinggi berbanding Korea Selatan dan Taiwan.
Bagaimanapun katanya, kedudukan itu dicantas Taiwan hanya selang dua tahun selepas itu dan Korea Selatan pula pada 1977 dengan kejayaan mereka tidak lain daripada pencapaian dan penguasaan teknologi.
Melancarkan National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) di sini hari ini, Muhyiddin berkata, inisiatif NTIS akan dapat menyokong dan mempercepatkan usaha kerajaan untuk membangunkan teknologi negara serta mengkomersialkan teknologi tempatan oleh para peniaga dan usahawan.
Beliau berkata, NTIS yang merupakan inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) adalah satu cara mempercepatkan peluang pertumbuhan ekonomi melalui penggunaan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, teknologi dron, teknologi sensor dan infrastruktur 5G dalam misi menyelesaikan permasalahan negara.
"Ini termasuklah permasalahan nasional yang meliputi kebergantungan terhadap buruh asing, risiko jaminan makanan,penjagaan kesihatan serta ketidaksamaan capaian internet dan jurang infrastruktur digital,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!