PRK DUN Slim medan ukur kekuatan gabungan parti
SHAH ALAM – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menjadi medan untuk mengukur kekuatan dan keutuhan sistem gabungan parti yang ada di Malaysia.
Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, sistem politik di negara ini dilihat agak berpecah dan semakin longgar.
“Selepas berlakunya Langkah Sheraton dan pertukaran kerajaan baru-baru ini, PRK Slim ini adalah ujian untuk mengukur sejauh mana keutuhan dan kekuatan sistem gabungan parti yang ada pada hari ini.
“Apa yang kita tengok, gabungan dominan politik dalam Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak begitu utuh sebenarnya. Jadi inilah medan ujian paling baik untuk melihat keutuhan serta kesesuaian parti gabungan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Wacana Siri ke-187 bertajuk PRK Slim: Calon Bebas hanya buat kacau? yang disiarkan secara langsung dari Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini semalam.
Turut menjadi panelis ialah calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz; calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S Santharasekaran serta Ahmad Fahmi Mohd Samsudin selaku moderator.
Menurut beliau, PRK kali ini juga menguji kredibiliti calon Bebas serta kekuatan jenama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam meraih sokongan majoriti pengundi Melayu.
“Dalam demokrasi, kita membenarkan mana-mana pihak atau individu untuk menjadi calon serta bertanding termasuk PRK Slim ini apabila ada dua calon Bebas termasuk calon daripada kem Tun Dr Mahathir.
“Pilihan raya di Malaysia ini terbukaan dan calon Bebas ini tidak boleh dianggap sebagai ‘kacau daun’ sebaliknya sesiapa sahaja boleh menjadi calon Bebas, yang penting mereka ada minat, kredibiliti serta keupayaan masing-masing.
“Malah dalam masa sama pengundi pilihan mereka tersendiri, tidaklah masa depan kita ditentukan oleh parti-parti yang sedia ada di Malaysia ini. Kehadiran calon Bebas perlu kita raikan, lebih-lebih lagi kepada anak tempatan kerana mereka lebih dekat dengan pengundi dan tahu keadaan di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, calon bertanding perlu lebih menonjol selain menawarkan manifesto masing-masing yang lebih menarik demi meraih sokongan pengundi.
“Tidak dinafikan, pemimpin-pemimpin parti akan turun padang, bertemu rakyat dengan membawa isu nasional seperti isu Felda, Tabung Haji (TH) dan sebagainya untuk meraih sokongan.
“Tetapi lebih penting sekarang kita mahu mendengar apa yang calon-calon ini sedang merangka, merencana serta menawarkan manifesto masing-masing kepada pengundi.
“Mungkin ketiga-tiga calon ini akan membawa iau tempatan yang lebih dekat dengan rakyat seperti isu perumahan, masalah banjir, bantuan prihatin dan sebagainya kerana mereka lebih cakna dengan isu-isu tempatan berbanding pemimpin luar. Inilah masa untuk mereka tonjolkan kelebihan dan kredibiliti masing-masing,” katanya.
Tambah Muhamad Nadzri, setiap calon dan parti yang bertanding diingatkan agar menggunakan sebaik mungkin tempoh masa berkempen yang ditetapkan.
“Kalu dilihat kepada ‘track record’, calon BN mempunyai kelebihan untuk menang tetapi dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Perlu diingatkan juga trend mengundi menurun berdasarkan sejarah, pilihan pengundi kerana ‘mood’ masyarakat kini berubah-ubah.
“Jadi calon-calon perlu menggunakan tempoh berkempen ini dengan sebaik mungkin. Turun padang bertemu pengundi dan selami masalah mereka.
“Mereka perlu mendahului pengundi, tawarkan program dan polisi terbaik untuk membangunkan DUN Slim selain menyelesaikan isu-isu tempatan sedia ada. Calon-calon ini perlu bersikap progresif untuk tawan hati pengundi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!