MELAKA - Seorang penganggur warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini kerana didakwa merogol, merompak dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita yang baru dikenali awal bulan ini. Hayat Shamas,24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan. Berdasarkan pertuduhan pertama tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 22 tahun tanpa kerelaan dan telah meletakkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan. Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepuluh hingga 30 tahun dan sebatan. Hayat juga dituduh melakukan persetubuhan luar tabii dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara minima lima tahun dan maksima 20 tahun serta sebatan. Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa merompak seutas gelang tangan dan cincin emas mangsa dianggarkan RM4,900 menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian dan didakwa mengikut Seksyen 392 kanun keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat. Kesemua kesalahan itu dilakukan di dalam kenderaan Proton Preve di tepi jalan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Ayer keroh kira-kira jam 1.15 pagi, 6 ogos lalu. Tertuduh yang diwakili peguam Kharen Jit Kaur merayu mahkamah membenarkan ikan jamin dengan alasan anak guamnya telah bertunang dengan warga Malaysia dan dalam urusan menguruskan pernikahan yang dijadual berlangsung September depan. Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos bagaimanapun membantah sebarang jaminan dengan mengambil kira tertuduh bukan warganegara selain mengenali tempat tinggal mangsa. Bagaimanapun Hayatul Wirdah memohon mahkamah menggunakan budi bicara dan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan hanya tunang tertuduh sebagai penjamin. Elesabet menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat hanya tunangnya sebagai penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak dibenarkan mengacau ganggu mangsa. Mahkamah kemudian menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.