Tujuh pemain Barcelona tidak akan dijual
BARCELONA dilaporkan akan melakukan rombakan besar terhadap kelab Catalan itu selepas diaibkan 2-8 Bayern Munich pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu menegaskan terdapat tujuh pemain yang selamat dan tidak akan dijual kelab itu pada jendela perpindahan akan datang.
"Siapa yang tidak dijual? Sudah tentu Lionel Messi. Dia adalah pemain terbaik di dunia dan sudah tentu kami tidak akan melepaskannya.
"Beberapa pemain lain seperti Marc-Andre ter Stegen, Nelson Semedo, Frenkie de Jong, Clement Lenglet, Ousmane Dembele, Antoine Griezmann juga tidak akan dijual kerana mereka pemain utama kelab," katanya.
Kegagalan di Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara memberikan perubahan besar kepada gergasi Sepayol itu dengan pengendalinya Quique Setien dan pengarah sukan, Eric Abidal sudah dipecat dan beberapa pemain lain juga akan dijual.
Menurutnya, beberapa pemain veteren seperti Gerard Pique, Luis Suarez, Sergio Busquets, Ivan Rakitic dan Jordi Alba juga mungkin perlu meninggalkan pasukan musim depan.
"Kita sedang memperkatakan mengenai generasi yang sudah memenangi segalanya bersama pasukan. Saya menghargai pengorbanan mereka selama ini.
"Tetapi, sekarang waktu untuk mengucapkan perpisahan kepada mereka dengan penuh rasa hormat. Saya percaya ini keputusan sukar yang perlu dibuat tetapi ia demi kebaikan pasukan.
"Kami akan berbincang dengan mereka kerana mereka sudah menjadi legenda di sini dan perlu pergi dengan cara dan perbincagan yang betul," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!