Boost bantu pendigitalan bisnes MSME
BOOST dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melancarkan Kempen E-dagang Mikro & PKS (MSME) untuk membantu peniaga mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (MSME) mendigitalkan perniagaan mereka daripada secara luar dalam kepada dalam talian (O2O).
Peneraju e-dompet itu menjelaskan, kempen yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 31 September itu akan menyaksikan Boost membantu peniaga menyediakan katalog e-dagang yang disatukan dengan fungsi Boost Business Payment Link untuk memastikan transaksi dalam talian berjalan dengan lancar.
Menurutnya, fungsi berkenaan membolehkan peniaga mempamerkan senarai produk mereka yang dapat dilihat oleh pelanggan dengan mudah, membuat pesanan dan meneruskan pembayaran dengan cepat, tanpa gangguan melalui aplikasi Boost.
“Boost Business Payment Link adalah inovasi baharu kami untuk peniaga mengumpulkan pembayaran melalui e-mel, SMS atau WhatsApp.
“Ia adalah langkah penting menuju transformasi di mana peniaga dapat menukar model perniagaan sedia ada yang terbukti memberi manfaat ketika Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Peniaga yang menyertai kempen berkenaan berpeluang menerima ganjaran dan manfaat bernilai lebih RM1,500.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairi Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati meminjamkan kepakaran dimiliki sebagai sokokngan terhadap usaha kerajaan dan MDEC bagi membantu MSME berkembang dalam norma baharu.
“Penularan koronavirus (Covid-19), lebih banyak perniagaan kecil dan individu menyedari kelebihan untuk memiliki perniagaan dalam talian yang mempunyai lebih 7.6 juta pengguna.
“Justeru, kami berhasrat untuk memberi pendedahan perniagaan ini kepada platform pengguna kami yang berkembang pesat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!