Dua beradik lakukan kerja mulia
SEBERANG PERAI - Kaedah membuang pelitup muka dengan tidak betul menggusarkan orang ramai kerana mungkin boleh menjadi faktor penularan koronavirus (Covid-19).
Justeru, dua beradik dari Sungai Bakap, Pulau Pinang dikenali Vasugi Ramasamy dan Suriya Kuppusamy bekerjasama mengutip pelitup muka bagi memelihara kebersihan di sekitar kawasan itu sehingga Parit Buntar.
Menurut Vasugi, beliau melihat pelitup muka dibuang di tepi jalan setiap hari ketika berulang alik dari tempat kerja.
"Jadi saya mengambil keputusan melakukan misi pembersihan sekitar Sungai Bakap ke Parit Buntar. Saya bimbang jika tidak dibuang dengan cara yang betul atau di tempat sewajarnya, ia akan menyebabkan virus menular dan membawa penyakit," katanya.
Vasugi yang bekerja sebagai kerani di sebuah pasar raya menyarankan masyarakat terus menjaga kebersihan dan kesihatan kerana negara masih 'diserang' Covid-19 dan ia tanggungjawab bersama.
Kisah penuh inspirasi Vasugi mendapat perhatian ramai setelah dimuat naik di Facebooknya semalam.
Jamiah Ujang menzahirkan ucapan terima kasih kepada dua beradik itu di atas pengorbanannya sanggup meluangkan masa mengutip pelitup muka yang dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab.
Tambah Manju Jue pula, "Bagi sesiapa yang membuang pelitup muka di merata tempat, tolong ubah sikap anda yang tidak bertanggungjawab".
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!