Mi bandung Pak Ya pikat selera
TANJUNG MALIM - Sekiranya berada di Slim River, jangan lupa untuk singgah makan di Warung Pak Ya Bistro di Kuala Slim.
Penangan mi bandung udang galahnya pasti berjaya menambat selera sesiapa sahaja yang singgah pertama kali ke situ.
Rasa kuah yang enak ditambah dengan rebusan udang memikat penggemar masakan mi dan udang apatah lagi ia disediakan secara terus dari kuali.
Selain rasanya yang pedas, keistimewaan mi bandung udang galah Pak Ya terletak pada kuahnya yang pekat, manis dan penuh perisa asli.
Resipi turun temurun keluarga Shafee Abdullah, 72, atau lebih dikenali Pak Ya itu hanya menggunakan udang galah segar yang diperoleh terus daripada peraih.
Dimasak bersama kuah yang direneh sehingga pekat dan kombinasi bersama air rebusan ayam memberikan rasa yang begitu asli kepada hidangan itu sendiri.
Operasi kedai yang bermula jam 7 pagi hingga 10.30 malam itu kini diuruskan dua anak lelaki Pak Ya, Mohamad Fitri, 34, dan Muhammad Zulhairi, 29.
Muhammad Zulhairi berkata, pemilihan udang galah bagi memberi kelainan terhadap rasa mi bandung itu sendiri.
Katanya, ia juga boleh menambat selera kaum bukan Melayu yang kebiasaannya tidak makan daging.
"Kami mula perkenalkan hidangan mi bandung udang galah ini sejak lebih lima tahun lalu, bermula daripada resipi ayah kemudian diolah sedikit demi sedikit sehinggalah yang ada seperti sekarang.
"Ada juga yang membandingkan dengan mi bandung Muar tetapi ramai pelanggan yang mengakui mi bandung udang galah ini punya rasa tersendiri.
"Alhamdulillah, dari tahun ke tahun mi bandung udang galah semakin mendapat sambutan dan dalam satu minggu kami memerlukan sekurang-kurangnya 300 kilogram udang galah bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya.
Menurutnya, berbanding di tempat lain, mereka menggunakan konsep 'make to order' bagi setiap pesanan pelanggan untuk memastikan keaslian rasa mi bandung terus dari kuali.
"Jika ada konvoi atau pelanggan datang dalam jumlah yang ramai, kami akan nasihatkan supaya membuat tempahan lebih awal bagi mengelak kesesakan dan hidangan lambat sampai," katanya.
Beliau berkata, warung yang boleh memuatkan 300 pelanggan dalam satu-satu masa itu dibuka dua sesi iaitu pada jam 7 hingga 2 petang menyediakan hidangan sarapan antaranya nasi lemak, roti canai, kuih muih dan makanan tengah hari.
"Mi bandung udang galah pada sesi kedua iaitu bermula jam 3 petang hingga 10.30 malam.
"Hidangan lain yang turut disediakan adalah nasi goreng, burung puyuh, baby crab juga hidangan lain menggunakan mi, bihun dan kuey teow," katanya.
Harga semangguk mi bandung udang galah hanyalah pada RM18.80 dan pelanggan juga boleh menggantikan hidangan ini dengan kuah kari udang galah atau tomyam udang galah pada harga RM19.80.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!