Maqis rampas cili, sweet potato bernilai RM41,523 dari Vietnam

Cili segar yang dirampas kerana tidak memiliki dokumen import sah termasuk permit import dikeluarkan Maqis; Sijil Pematuhan 3P (penggredan, pembungkusan dan pelabelan).
Cili segar yang dirampas kerana tidak memiliki dokumen import sah termasuk permit import dikeluarkan Maqis; Sijil Pematuhan 3P (penggredan, pembungkusan dan pelabelan).
A
A
A

KLANG - Sebanyak 14,000 kilogram (kg) cili dan 1,750 kilogram sweet potato bernilai RM41,523.62 yang diimport dari Vietnam dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat di sini.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan, Maqis memaklumkan pengimport didapati cuba mengaburi mata pegawai penguat kuasa Maqis dengan meletakkan cili di bahagian belakang kontena manakala sweet potato di bahagian hadapan kontena tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan, ketika pemeriksaan rutin dijalankan pengimport didapati membawa masuk hasil pertanian tersebut tanpa sebarang dokumen yang sah.

“Terdapat lagi usaha untuk membawa masuk cili dari negara Vietnam secara tidak sah ekoran penggantungan permit import (IP) cili dari negara ini berkuat kuasa 14 September 2018 yang lalu.

“Cili segar ini dirampas kerana tidak memiliki dokumen import sah termasuk permit import dikeluarkan Maqis; Sijil Pematuhan 3P (penggredan, pembungkusan dan pelabelan); Sijil Fitosanitasi dari negara asal dan juga pengimport memberikan dokumen pengisytiharan dagangan import mengelirukan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sweet potato pula dirampas kerana tidak mempunyai Sijil Pematuhan 3P ketika dagangan dibawa masuk ke negara ini.

Menurut kenyataan itu, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah akan disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

“Mengisytiharkan dokumen palsu, tidak tepat atau mengelirukan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua – duanya sekali,” kata kenyataan itu lagi.

Maqis turut memaklumkan, kes tidak mematuhi syarat import juga akan di siasat di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 15(2) akta yang sama.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas pengimport yang cuba membawa masuk keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!