Saifuddin Abdullah alu-alukan pemimpin PH sertai Bersatu

Saifuddin (kanan) pada sidang akhbar sempena Majlis Ramah Mesra bersama Media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hari ini yang turut dihadiri Khairul Shahril.
Saifuddin (kanan) pada sidang akhbar sempena Majlis Ramah Mesra bersama Media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hari ini yang turut dihadiri Khairul Shahril.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengalu-alukan pemimpin dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya langkah itu mampu memberi kestabilan terhadap politik negara.

Menurutnya, suasana politik tanah air kini menuju kepada keadaan yang lebih stabil dengan keyakinan ahli politik sendiri terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang semakin hari semakin meningkat.

"Saya ada dengar, tetapi tidak tahu sejauh mana kesahihan dan berapa orang, jika ada tentulah kita alu-alukannya, tetapi pokok pangkalnya keyakinan orang-orang politik dan rakyat kepada Perdana Menteri semakin meningkat.

"Pada saya kestabilan politik ini ada waktunya banyak dipengaruhi oleh rakyat dan rakyat di akar umbi pada masa ini menunjukkan kehendak dan keinginan untuk politik ini menjadi lebih stabil dengan apa yang ada.

"Walaupun jumlah anggota Parlimen kerajaan itu melebihi pembangkang cuma beberapa kerusi sahaja, tetapi rakyat mahu kestabilan itu berterusan seperti mana ada sekarang," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa terdapat enam ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (Amanah) akan keluar parti untuk bersama Bersatu menyertai Muafakat Nasional seperti dilaporkan sebuah portal semalam.

Saifuddin yang juga bekas Ketua Sekretariat PH berkata, pihaknya ada dimaklumkan akan perkara itu, namun sehingga kini belum dapat dipastikan kesahihannya.

Bagaimanapun katanya, undian belah bahagi di Dewan Rakyat bagi Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 pada Isnin lalu telah menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju, 106 tidak setuju sementara lima lagi tidak hadir.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya petanda sebenar adalah akar umbi, (mungkin) betul lah kerana dua hari lepas kita ada undi 111 lawan 106," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Indera Mahkota daripada Bersatu itu memaklumkan telah pun melantik peguam berhubung surat tuntutan pampasan RM10 juta yang dikemukakan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Saya dah lantik peguam dan kami yang menerima surat ini telah pun buat rundingan awal, jadi kita tunggu dulu perkembangan selanjutnya," katanya.

Terdahulu, Saifuddin mengadakan Majlis Ramah Mesra bersama Media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!