Kerajaan negeri saran UMK hantar laporan penemuan fosil dinosaur
KOTA BHARU - Kerajaan Negeri Kelantan mencadangkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menghantar laporan secara rasmi berkenaan penemuan fosil dinosaur di Bukit Panau, Tanah Merah baru-baru ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya belum dapat melakukan sebarang tindakan susulan kerana masih belum menerima laporan lengkap daripada UMK.
Menurutnya, bagi kerajaan ia adalah satu penemuan bersejarah dan beliau bersedia untuk melihat sekiranya ia sesuai untuk dijadikan destinasi pelancongan dan sebagainya untuk memulihara kawasan berkenaan.
"Kita tengok keadaan macam mana sebab laporan rasmi masih belum sampai lagi kepada kerajaan negeri, setakat ini kita hanya mendapat maklumat daripada media massa.
"Jika bersesuaian dengan tempat atau terdapat potensi yang baik kita boleh jadikan salah satu destinasi pelancongan. Sebab ini satu penemuan yang besar.
"Oleh itu, saya sarankan UMK hantar laporan secara rasmi, khusus kepada kerajaan negeri untuk membuat tindakan selanjutnya. Ini sejarah...160 juta tahun," katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan pasukan penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB), UMK mendakwa menemui kesan tapak kaki dinosaur dipercayai daripada kumpulan spesies Sauropod berusia 66 juta tahun sehingga 160 juta tahun.
Penemuan fosil tersebut adalah hasil kajian ekplorasi geosains oleh pasukan penyelidik UMK yang diketuai Pensyarah FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar dan Profesor Surono Martosuwito bersama Profesor Udi Hartono dibantu Mohd Syakir Sulaiman.
Arham Muchtar berkata, aktiviti penyelidikan itu bermula pada Mei 2017 lagi dan berjaya menemukan fosil tapak serta laluan trek dinosaur dari subgrup Sauropod.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyelidik UMK temui fosil tapak kaki dinosaur di Bukit Panau
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!