JKKP siasat pemandu lori balak maut di tempat kerja

JKKP Perak menjalankan siasatan selepas menerima laporan kematian pemandu lori balak di tempat kerja di Hulu Perak. -Foto: JKKP Perak
JKKP Perak menjalankan siasatan selepas menerima laporan kematian pemandu lori balak di tempat kerja di Hulu Perak. -Foto: JKKP Perak
A
A
A

GERIK - Seorang pemandu lori balak maut selepas kenderaan berat yang dipandunya terbalik di kawasan pembalakan di daerah Hulu Perak, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lelaki berusia 43 tahun itu maut akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak bertindak menjalankan siasatan lanjut setelah menerima laporan tersebut.

Pengarahnya, Ir Zamzurin Maarof berkata, siasatan awal mendapati mangsa baharu tiga hari bekerja dengan syarikat pembalakan tersebut.

“Semasa kejadian, mangsa sedang membawa lori berisi muatan kayu balak bersama seorang rakan sekerja.

“Lori yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan seterusnya terbabas dan terbalik. Mangsa dijumpai tertiarap di luar lori dengan kecederaan parah di beberapa anggota badan manakala rakannya hanya mengalami cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, pihaknya telah mengeluarkan arahan henti kerja sehingga siasatan lengkap dijalankan dan tindakan penambahbaikan dibuat oleh majikan.

“JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Artikel Berkaitan:

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja serta bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja bertugas,” katanya.

Zamzurin berkata, kejadian itu boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!