Lebih ramai penjaja bakal dapat lesen sementara
KLANG - Lebih ramai lagi penjaja akan menerima Lesen Penjaja Sementara(LPS) bagi membantu mereka menjalankan perniagaan serta menjana pendapatan dalam pasca koronavirus (Covid-19) ketika ini.
Exco Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, langkah pemberian Lesen Penjaja Sementara berkenaan merupakan antara inisiatif kerajaan negeri untuk membantu golongan B40 menjalankan perniagaan kecil.
"Kalau ikut jumlahnya agak ramai namun semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini telah diarah memberi lesen sementara di tapak-tapak yang sesuai, tidak mendatangkan kacau ganggu serta selamat.
"Selepas ini kita akan kemukakan jumlah (peniaga) yang terlibat. Buat masa ini di Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan selepas ini saya akan turun ke Kajang pula," katanya kepada dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19 peringkat Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertempat di Dewan Hamzah, hari ini.
Tambah beliau, terdapat beberapa syarat yang perlu diikuti bagi penjaja memohon Lesen Penjaja Sementara ini.
"Antaranya tidak mendatangkan kacau ganggu dan kedua, kebersihan serta kesihatan harus dijaga, keselamatan tapak itu manakala dari segi pengurusan sampah, kita harap semua penjaja dapat bekerjasama dan membungkus sampah dan tidak membuang merata tempat. PBT telah memaklumkan syarat-syarat ini kepada penjaja dan diharapkan semua penjaja mematuhinya," katanya.
Menurutnya, pemohon sendiri perlu menggunakan lesen yang telah diberikan.
"Penjaja yang menerima lesen penjaja sementara ini tidak boleh bertindak memberikan lesen mereka kepada pihak lain, mereka harus menjaja sendiri tanpa melibatkan pihak lain. Warga asing tidak dibenar jadi penjaja atau peniaga kecil mahupun pembantu di gerai penjaja.
"Jika ada, kita akan siasat dan jika lesen disewa kepada penjaja maka lesen akan dibatalkan segera dan jika peniaga tidak ikut syarat ditetapkan, iaitu mengambil pembantu warga asing, pihak PBT juga akan ambil tindakan kerana peluang perniagaan harus diberi kepada warga tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!