72 sekolah pondok dan pusat tahfiz tidak dibenarkan beroperasi

Syed Ibrahim beramah mesra dengan pelajar sewaktu mengadakan lawatan di SAR KAFA Al Huda Sungai Isap 2, hari ini.
Syed Ibrahim beramah mesra dengan pelajar sewaktu mengadakan lawatan di SAR KAFA Al Huda Sungai Isap 2, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 72 sekolah pondok dan pusat tahfiz di Pahang tidak dibenarkan memulakan sesi persekolahan susulan kegagalan mendaftarkan institusi pengajian itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihak pentadbir sekolah pondok dan pusat tahfiz milik persendirian itu perlu berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) sebelum mendapatkan surat kebenaran memulakan operasi.

Menurutnya, pendaftaran itu penting bagi membolehkan pihak kerajaan membantu jika ada isu tertentu.

"Kita minta sekolah ini (pondok dan pusat tahfiz) mendaftar segera. Kalau mereka (pentadbir sekolah) tidak berdaftar tetapi hendak buka sekolah dan tiba-tiba ada masalah, siapa akan bertanggungjawab," katanya selepas melakukan lawatan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Al Huda Sungai Isap 2 hari ini.

Syed Ibrahim berkata, antara faktor sekolah pondok dan pusat tahfiz tidak didaftarkan ialah kegagalan pentadbir mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk dalam konteks bangunan yang sempit dan sukatan mata pelajaran.

"Kita berharap pentadbir sekolah dapat menyelesaikan isu pendaftaran ini dengan segera dan memastikan urusan itu dipermudahkan oleh Jaip," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 577 sekolah SAR dan Kafa sudah memulakan sesi persekolahan sejak dua minggu lalu dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Syed Ibrahim berkata, pihaknya berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pihak sekolah mencegah penularan Covid-19 seperti saranan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!