Ahli Parlimen Kemaman rai media
KEMAMAN - Untuk memperkukuhkan hubungan dan menghargai peranan media di daerah ini, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid mengadakan majlis Makan Malam Media Parlimen Kemaman di sini.
Che Alias berkata, pengamal media dan pemimpin saling memerlukan dan berikutan itu, sebagai pemimpin beliau amat menyanjungi peranan yang dimainkan pihak media.
"Kalau pengamal media tidak melaporkan aktiviti dan kegiatan yang dilakukan oleh pemimpin mungkin masyarakat tidak akan dapat maklumat sahih walaupun kita tahu sekarang zaman media sosial tetapi media arus perdana tetap menjadi sumber yang diyakini oleh rakyat.
"Oleh itu program ini diadakan agar pemimpin dan media dapat bersama-sama berperanan untuk membina masyarakat lebih-lebih lagi selepas kejayaan Pas mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Terengganu pada PRU14 lalu," katanya yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kemaman.
Majlis berkenaan turut dihadiri Adun Chukai yang juga Exco Kerajaan Negeri, Hanafiah Mat; Adun Air Putih, Ab Razak Ibrahim; Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Penyelaras Dun Kijal, Hazri Jusoh.
Pada majlis itu, pengamal media termasuk Sinar Harian menerima sijil penghargaan.
Dalam pada itu, Che Alias turut berharap agar pengamal media sentiasa berpegang kepada etika dengan melaporkan berita yang benar dan tidak melaporkan sesuatu berdasarkan persepsi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!