Pasar Bisik, 23 masjid disanitasi

Pasar Bisik di Pusat Pendaratan Ikan Kuala Muda Kedah disanitasi hari ini dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
Pasar Bisik di Pusat Pendaratan Ikan Kuala Muda Kedah disanitasi hari ini dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
A
A
A

KOTA KUALA MUDA - Seluruh kawasan Pasar Bisik Kuala Muda, Kedah di Pusat Pendaratan Ikan yang menjadi tumpuan nelayan disanitasi sebagai langkah pencegahan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Ahmad Fadzli Hashim berkata, selain lokasi tumpuan terbabit, pihaknya menjalankan sanitasi di 23 buah masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Merdeka, Pusat Pengajian Al Safwah Lil Banat, Tikam Batu dan Berangan Pool Cottage, Kampung Permatang Berangan.

Menurutnya, pendekatan itu sebagai salah satu cara membantu pihak kerajaan selain mengambil langkah keselamatan sekali gus membantu rakyat dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 dengan menyediakan semburan pembasmian kuman secara percuma.

"Kita tumpukan kepada lokasi awam selain memenuhi keperluan terhadap permohonan yang diterima di mana proses sanitasi Pasar Bisik baru sahaja selesai petang tadi sebagai langkah keselamatan kepada golongan nelayan yang juga boleh dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan yang sentiasa turun ke laut bagi memenuhi keperluan makanan negara.

Proses sanitasi Pasar Bisik Kuala Muda Kedah selesai dilaksanakan petang tadi.
Proses sanitasi Pasar Bisik Kuala Muda Kedah selesai dilaksanakan petang tadi.

"Selain itu, kita sudah memulakan proses sanitasi masjid dalam DUN Pantai Merdeka sejak semalam dan hari ini, seterusnya akan diteruskan esok sehingga kesemua 23 buah masjid selesai disanitasi,” katanya.

Menurutnya, pandemik Covid-19 yang melanda dunia telah membolehkan masyarakat meneruskan kehidupan menggunakan normal baharu selain mematuhi penjarakan fizikal pada setiap masa.

"Bersempena sambutan Maal Hijrah tahun 1442H kali ini, saya ingin mengajak semua untuk melakukan penghijrahan ke arah kepentingan kemaslahatan umum dengan mematuhi peraturan normal baharu merangkumi hijrah sikap agar tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga membebankan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Ini juga salah satu hijrah yang dituntut sewaktu penularan penyakit berjangkit yang mana kita disaran melakukan penghijrahan iaitu perubahan ke arah kebaikan," katanya.

Beliau berharap agar rakyat sentiasa mengamalkan SOP selain mematuhi arahan yang dikuatkuasakan kerajaan dari masa ke semasa dalam usaha membendung penyebaran Covid-19.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!