Covid-19: Penduduk Pulau Pinang diingat rujuk KKM
GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini mengingatkan rakyat di negeri itu agar merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selaku sumber utama berhubung kes Covid-19 termasuk mengenai kes aktif dan kawasan yang terlibat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ini kerana ada pihak tertentu dan syarikat yang membuat pengumuman sendiri berhubung kes aktif yang mungkin menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan tersebut ada baik dan buruknya. Baiknya dari segi membolehkan orang ramai menerima maklumat lebih cepat sekali gus mengambil langkah berhati-hati, namun pada masa sama harus patuhi undang-undang pihak berwajib.
“Kalau tidak, sesiapa sahaja boleh buat pengumuman yang boleh menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau membuat kenyataan itu sebagai respons kepada hantaran media sosial mendakwa seorang pekerja wanita di Suntech@Penang Cybercity diuji positif Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!