Masalah air, elektrik kampung orang asli selesai
TANJUNG MALIM - Penduduk orang asli di Kampung Sungai Teras dan Changkat Ramu di Slim River, di sini bakal menikmati bekalan elektrik dan air bersih apabila masalah itu dijangka dapat diselesaikan minggu depan.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, kerja-kerja menyambung kemudahan itu sedang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Di Kampung Sungai teras, pendawaian elektrik telah pun dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula kelmarin. Penduduk akan terima bekalan sebelum 29 Ogos membabitkan 24 rumah, tadika, Dewan Orang Ramai dan gereja.
ARTIKEL BERKAITAN: Orang Asli di Slim River mahu air bersih, bekalan elektrik
“Masalah penduduk di Changkat Ramu pula dapat diselesaikan Jakoa sendiri. Mereka telah mendapatkan peruntukan RM20,000 bagi membaiki sistem sebagai alternatif bekalan air bersih,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media PRK DUN Slim, di sini hari ini.
Menurutnya, dua jambatan yang menghubung Changkat Ramu dan Slim River turut diberi perhatian.
“Kedua-dua jambatan ini dibina oleh syarikat pelombongan dan pemilik ladang sawit namun masalahnya kerana ia terletak di sempadan Perak dan Selangor.
“Kami sedang mengkaji dan meneliti jalan penyelesaian kedua-dua pihak. Buat masa ini, jambatan tersebut masih selamat digunakan,” katanya.
Mohd Zolkafly bagaimanapun menafikan projek penyambungan elektrik itu sebagai ‘gula-gula’ menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
“Ini bukan kita rancang semasa pilihan raya, sebenarnya sebelum penamaan calon kita bersama Jakoa dan TNB malah TNB membelanjakan RM100,000 sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mulakan kerja-kerja ini.
“Ini bukan gula-gula untuk undi kerana saya yakin masyarakat sudah bijak untuk memilih dan rasional berdasarkan kepada pembangunan dan kebajikan,” katanya.
Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan Lebih 100 penduduk kampung orang asli Changkat Ramu, Slim River di sini terputus bekalan air bersih sejak tujuh bulan lalu. Masalah turut membelenggu tiga lagi kampung orang asli iaitu Kampung Sungai Teras, Kampung Buluh Seruas dan Kampung Sungai Jentong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!