Wanita warga emas rugi RM496,000
KUANTAN - Seorang wanita warga emas kerugian RM496,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai pos laju dan pegawai polis kelmarin.
Mangsa yang didakwa terlibat dengan kes pengubahan wang harap diperdaya hingga menyerahkan kad bank bersama nombor pin atas arahan 'pegawai polis' tersebut kononnya bagi tujuan siasatan.
Mangsa berusia 60 tahun itu menyedari wang dalam akaun banknya lesap selepas membuat semakan pada 17 Ogos lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, penipuan ke atas mangsa bermula 17 Julai lalu selepas dia menerima panggilan daripada pegawai pos laju berhubung satu bungkusan atas namanya yang dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram.
Menurutnya, mangsa menafikan kaitannya dengan bungkusan tersebut sebelum panggilan disambung kepada seorang pegawai polis menggunakan nama Asisten Superintendan Bakar dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk tindakan lanjut.
"Pegawai terbabit mengaku boleh membantu mangsa untuk menyelesaikan kes tersebut.
"Selepas berurusan dengan pegawai polis tersebut, mangsa menerima pesanan WhatsApp daripada satu nombor telefon tidak dikenali mengarahkannya memindahkan semua wang dalam akaun bank ke satu akaun bank sahaja," katanya.
Mohd Wazir berkata, mangsa yang bimbang berdepan tindakan undang-undang atas kes yang dihadapinya akur dengan arahan tersebut dan terus memindahkan wang dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM500,000 ke satu lagi akaun bank miliknya.
"Mangsa berbuat demikian di cawangan bank itu di Karak pada 24 Julai lalu.
"Mangsa mendakwa baki keseluruhan wang dalam akaun tersebut berjumlah RM516,000," katanya.
Mohd Wazir berkata, selepas pindahan wang dilakukan, mangsa menerima panggilan daripada nombor telefon tidak dikenali mengarahkan dia menyerahkan kad bank dengan meletakkannya di dalam pasu bunga di hadapan sebuah kedai menjual makanan haiwan berhampiran sebuah pasar raya di pekan Karak.
"Mangsa juga diminta menyerahkan bersama nombor pin kad bank tersebut dan dia akur dengan arahan tersebut.
"Pada 17 Ogos lalu, mangsa ke cawangan bank berkenaan untuk membuat kad bank baharu dan selepas semakan dilakukan mangsa mendapati wang dalam akaun banknya itu hanya berbaki RM20,000," katanya.
Beliau berkata, menyedari kehilangan wang dalam akaun banknya, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Karak semalam.
"Susulan laporan polis dibuat mangsa, kita membuka siasatan kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!