Penyertaan Pas dalam PN tidak bercanggah piagam MN

Tangkap layar Twitter Annuar Musa hari ini.
Tangkap layar Twitter Annuar Musa hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Penyertaan Pas menaja penubuhan Perikatan Nasional (PN) tidak bercanggah dengan perjanjian dan piagam Muafakat Nasional (MN).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, penglibatan Pas dan beberapa parti lain menaja penubuhan PN adalah hak parti terbabit.

Menteri Wilayah Persekutuan itu memberitahu, BN dan UMNO kekal dengan pendirian tidak menyertai PN sebaliknya akan terus bekerjasama dengan parti yang menyokong dan selari dengan dasar perjuangan parti itu.

"UMNO kekal pendirian tak menjadi ahli parti baharu tetapi terus bekerjasama dengan parti yang menyokong perjuangan selari dengan dasar perjuangan UMNO," ciap Annuar di Twitternya sebentar tadi.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan tampil menjelaskan pendirian parti itu terhadap pembentukan PN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-undang) itu berkata, parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan menyertai PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, Pas merupakan antara parti penaja gabungan politik baharu yang muncul selepas perubahan politik pada hujung Februari lalu.

Beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada BN diterajui UMNO akan turut serta sebagai jawatankuasa penajanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Akar umbi Pas tiada masalah Bersatu sertai MN

UMNO tidak campur urusan Pas daftar PN bersama Bersatu

Sementara itu, dalam ciapan berasingan Annuar berkata, usaha menubuhkan sebuah parti yang bersifat gabungan memerlukan sekurang-kurangnya dua parti protem untuk tujuan pendaftaran.

"Menubuhkan parti yang bersifat gabungan memerlukan kurang-kurang dua parti protem untuk tujuan pendaftaran. Tidaklah salah untuk mendaftarnya sebagai option masa depan," katanya.

Beliau berkata, UMNO bagaimanapun akan kekal dengan BN serta memperkasakan MN.

"UMNO kekal dengan BN serta komited memperkasakan MN sebagai landasan muafakat ummah dan penyatuan Melayu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!