Dua anggota polis nyaris ditembak penyeludup warga Thailand

PDRM
PDRM
A
A
A

TANAH MERAH - Dua anggota polis nyaris terkena tembakan dipercayai daripada senapang angin yang dilepaskan oleh dua lelaki dari arah sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok semalam.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, anggota yang sedang bertugas dan meronda di kawasan sempadan pengkalan haram Poksu Kamal, Nibong di sini telah mendapati seorang lelaki sedang menyeberangi sungai.

"Lelaki tersebut terjun bersama tujuh tong disyaki berisi minyak yang diikat bersamanya dan bergerak pergi ke arah negara jiran.

"Setelah lelaki tersebut sampai di tebing sungai sebelah Thailand, tiba-tiba keluar pula dua lelaki lain yang masing-masing membawa selaras senapang dan melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota kita.

"Dua das tembakan mengenai tebing sungai manakala satu das lagi tersasar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan senapang angin memandangkan tiada bunyi letupan kedengaran sewaktu ia dilepaskan.

Malah katanya, suspek juga dipercayai penyeludup warga Thailand yang tidak berpuas hati dengan tindakan anggota polis yang kerap melakukan rondaan di tebing sungai sempadan Malaysia-Thailand.

"Kedua-dua anggota yang bertugas tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!