Sistem sekular bukan penyelesaian umat Islam

Hasni (kiri) menyerahkan Anugerah Maal Hirah 1441 kepada bekas Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1442/2020 di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini.
Hasni (kiri) menyerahkan Anugerah Maal Hirah 1441 kepada bekas Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1442/2020 di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sistem sekular barat bukan penyelesaian secara total terhadap masalah umat Islam di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, dasar sekular selalu dilihat sebagai moden, kontemporari dan komprehensif sebagai penyelesaian utama kepada masalah umat.

Bagaimanapun katanya, sistem itu tidak wajar diterima atau ditiru secara menyeluruh dalam amalan demokrasi.

"Kita cedok bulat-bulat solusi itu kerana dari negara maju dan sistem pendidikan barat.

"Lalu kita lupa kearifan dan hikmah ulama setempat, ilmuwan dan pakar setempat dalam pelbagai bidang. Kaedah sekular barat dalam memberikan solusi kepada masalah umat perlu berakhir," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1442/2020 di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Md Rofiki A Shamsudin.

Hasni berkata, nilai dan panduan dalam Islam paling terbaik serta berkesan bagi menyelesaikan masalah ekonomi serta sosial yang sedang melanda umat sekarang ini.

Justeru katanya, Islam harus memacu kemakmuran dan pada masa sama kaedah tersebut sudah menjadi cara Johor dalam menegakkan syiar Islam secara berhemah dan menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu Johor, masyarakat dan persekitarannya dicorakkan serta dinspirasikan daripada Islam, prinsip dan ajarannya.

"Lihatlah bagaimana negara maju hilang kesedaran moralnya. Pembangunan mereka itu hanya tentang angka dan bukannya pembangunan rohaniah umat," ujarnya.

Tambahnya, Islam perlu dijadikan pemangkin kemakmuran selain merupakan idea besar Johor untuk meneroka Islam dan segala ajarannya sebagai punca kepada kemajuan, kesejahteraan dan kebolehsaingan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!