Kemasukan ke universiti awam di Kedah, Sarawak mungkin ditunda

Noraini pada sidang akhbar hari ini.
Noraini pada sidang akhbar hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Kemasukan pelajar ke universiti awam di Kedah dan Sarawak pada Oktober depan mungkin ditangguhkan berikutan penularan baharu wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, penangguhan itu akan dilaksanakan mengambil kira situasi semasa kes di kedua-dua negeri terbabit.

Menurutnya, sekiranya kes Covid-19 terus meningkat, kementeriannya akan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum satu tarikh baharu ditetapkan.

"Sekarang ini memang sudah ada kes di Kedah dan dalam beberapa minggu lepas kita dapati Sarawak juga catat kes tinggi. Jika kes terus meningkat maka akan ada penangguhan kemasukan pelajar.

"Universiti terlibat mungkin UUM (Universiti Utara Malaysia) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), tetapi sebenarnya ia melibatkan semua universiti awam yang ada di dua negeri itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, kemasukan pelajar ke universiti awam di negeri lain pula bergantung kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat negeri masing-masing.

Justeru menurutnya, ibu bapa dan pelajar perlu mengambil maklum makluman pihak universiti mengenai perkara itu.

"Kemasukan pelajar membabitkan negeri lain bermula pada Oktober ini tetapi perlu melihat keadaan semasa Covid-19 dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun bergantung kepada mesyuarat MKN di negeri masing-masing, setiap keputusan itu merujuk kepada kelulusan Kementerian Kesihatan," katanya.

Julai lalu, Noraini mengumumkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat mulai Julai dengan kemasukan sepenuhnya pada Oktober depan setelah mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri.

Terdahulu, Noraini yang Ketua Wanita UMNO mengadakan ziarah rumah ke rumah di Kampung Changkat Sulaiman sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang turut dihadiri calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!