Hubungan Arab Saudi-Israel tidak terjalin demi Palestin
Pada minggu lalu, UAE menjadi negara Teluk pertama menormalkan hubungan dengan Tel Aviv dalam satu persetujuan bersejarah dengan Amerika Syarikat (AS) menjadi perantara mengakibatkan tercetusnya spekulasi bahawa beberapa buah negara lain termasuk Arab Saudi akan menjalin hubungan yang sama.
Bagaimanapun, selepas mendiamkan diri dan berdepan tekanan daripada AS supaya mengumumkan langkah serupa dengan Abu Dhabi, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan menafikan kemungkinan itu selagi isu Palestin tidak berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, keamanan perlu dicapai dengan penduduk Palestin berdasarkan prinsip perjanjian antarabangsa sebagai satu syarat menormalkan hubungan dengan Israel.
"Sejurus ia dicapai semua perkara adalah munasabah (dilakukan)," katanya kepada para pemberita ketika melakukan lawatan di Berlin.
Komen beliau adalah konsisten dengan pendirian Arab Saudi berhubung isu tersebut sebelum ini.
Kenyataan tersebut juga adalah reaksi pertama negara beraja itu sejak UAE mencapai persetujuan tersebut dengan Israel.
Ia merupakan perjanjian damai ketiga selepas Israel menjalin hubungan diplomatik dengan Mesir dan Jordan di dunia Arab.
Pada sidang akhbar sama, Putera Faisal mengulangi kritikannya terhadap dasar satu pihak Israel yang mahu meluaskan dan menambahkan penempatan haram Yahudi di kawasan Tebing Barat yang didudukinya sebagai haram dan menjejaskan penyelesaian dua buah negara dalam konflik Palestin. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!