Lyon gagal manfaatkan peluang
PENGENDALI Lyon, Rudi Garcia mengakui kecewa apabila skuad kendaliannya itu gagal meneruskan kemaraan ke final saingan Liga Juara-Juara selepas tewas 3-0 kepada Bayern Munich pada peringkat separuh akhir di Estadio Jose Alvalade.
Menurutnya, anak-anak buahnya mampu menafikan kemenangan juara Bundesliga itu sekiranya memanfaatkan deretan peluang menjaringkan gol dimiliki pada perlawanan berkenaan.
“Biarpun Bayern memperoleh kemenangan yang cukup selesa, namun rentak permainan boleh berubah seandainya pemain Lyon tidak menolak beberapa peluang pada awal perlawanan.
“Sejujurnya kami boleh berbangga dengan kepantasan dan corak permainan kami, tetapi akhirnya kekecewaan melanda kami dan itulah yang berlaku pada penghujung perlawanan ini.
"Pemain Lyon kurang mencipta impak positif untuk mendahului Bayern bagi membolehkan memimpin perlawanan ini sebaliknya kami pula dipimpin lawan pada kesudahannya,” katanya.
Pada aksi itu, Memphis Depay dan Karl Toko Ekambi hampir memberikan pendahuluan kepada Lyon sebelum Serge Gnabry menjaringkan gol pertama dari dua gol pada babak pertama.
Pada babak kedua penjaring terbanyak Bundesliga, Robert Lewandowski menambah satu lagi sekali gus mengesahkan kemaraan Bayern ke final menentang satu lagi gergasi Ligue 1, Paris Saint Germain (PSG) pada Ahad ini.
Jelas Garcia lagi, situasi menjadi lebih sukar apabila Bayern melebarkan jaringan kepada dua gol biarpun anak-anak buahnya kembali bangkit memberikan tentangan.
“Pada kedudukan 2-0, ia sudah cukup merumitkan walaupun kami tidak menyerah pada babak kedua. Dan kami tahu pemain Bayern akan menjadi sangat agresif dan defensif.
“Apa yang tidak kami lakukan dengan baik di babak pertama adalah memainkan bola dan menggerakkannya dengan lancar. Kami melakukan yang lebih baik pada babak kedua. Namun sekiranya anda tidak menjaringkan gol, anda tidak dapat lolos,” katanya yang kini mula mengalih tumpuan ke arah saingan musim baharu Ligue 1 menentang Dijon pada 28 Ogos.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!