Gigih bertukang selagi ada kudrat

Rusdin menunjukkan biola yang diciptanya dengan menggunakan beberapa jenis kayu.
Rusdin menunjukkan biola yang diciptanya dengan menggunakan beberapa jenis kayu.
A
A
A

JITRA - Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi. Itu pepatah yang sesuai menggambarkan bakat pertukangan yang diwarisi Rusdin Daud, 55, daripada Allahyarham ayahnya, Daud Ahmad.

Rusdin berkata, minatnya dalam bidang ini mula bercambah sejak berusia 11 tahun lagi selepas melihat ayahnya menghasilkan pelbagai produk kraftangan.

Katanya, apabila berumah tangga pada 1983, dia membuka sebuah bengkel besi untuk menzahirkan minatnya dengan lebih serius lagi.

"Sejak adanya bengkel itu, saya mula mencipta pelbagai barangan, di situlah saya curahkan segala idea sehinggakan saya mempunyai hampir 350 kraftangan dan barangan dalam simpanan," katanya ketika ditemui di Kampung Budaya D'Bayas, Padang Panjang di sini.

Menurutnya, dia juga mempunyai empat biola yang dihasilkan sendiri daripada beberapa jenis kayu seperti merbau, bongor dan lain-lain.

"Malah saya dan anak-anak turut bekerjasama menghasilkan basikal roda empat yang ditempah Bina Darulaman Berhad (BDB).

"Kalau orang tanya saya, daripada mana belajar semua ni, saya tak tau nak jawab, saya anggap ia anugerah ALLAH SWT kerana semua idea itu datang dengan sendirinya," katanya yang juga mahir menggesek biola seperti Allahyarham bapanya.

Basikal roda empat yang dicipta oleh Rusdin bersama anak-anaknya.
Basikal roda empat yang dicipta oleh Rusdin bersama anak-anaknya.

Artikel Berkaitan:

Congkak daripada kayu hanyut

Rusdin berkata, antara koleksinya yang sering mendapat tumpuan orang ramai adalah meja congkak yang diperbuat daripada kayu hanyut.

"Congkak ini saya buat pada1999 yang mengambil masa selama 10 hari untuk menyiapkannya.

"Idea nak buat congkak ni mai bila saya jumpa kayu hanyut, saya mula terfikir nak buat congkak tapi dalam masa sama kalau buat meja pun cantik juga.

"Jadi akhirnya saya buat dua dalam satu, nak main congkak boleh, nak buat meja pun boleh," katanya.

Meja congkak antara hasil kerja Rusdin yang memikat hati pelanggan yang berkunjung ke warungnya di Kampung Budaya.
Meja congkak antara hasil kerja Rusdin yang memikat hati pelanggan yang berkunjung ke warungnya di Kampung Budaya.

Katanya, ramai pelanggan yang berminat untuk membeli meja berkenaan, namun dia menolak dengan cara baik.

"Ada yang letak harga beribu ringgit. Tapi saya memang tak jual sebab ini koleksi saya dan saya memang bercadang nak pamerkan di Kampung Budaya ini untuk tatapan pelancong," katanya.

Dua anak lelaki punyai minat sama

Rusdin yang Pengerusi Pertubuhan Seni Budaya Kubang Pasu berkata, minatnya dalam bidang ini akan terus bercambah selagi adanya kudrat.

"Alhamdulillah, dua anak lelaki saya (Abd Hadi dan Abd Hanif) juga mempunyai minat seperti saya.

"Saya juga bersyukur kerana dengan wujudnya Kampung Budaya di sini, segala titik peluh saya dalam bidang pertukangan ini dihargai.

"Harapan saya semoga kraftangan saya ini menjadi identiti Kampung Budaya di samping tarikan-tarikan lain seperti lagu, muzik dan tarian tradisional rakyat yang dibangunkan di sini," katanya yang pernah menerima Anugerah Belia Negara pada 2001.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!