Balu mangsa kemalangan terima faedah Perkeso

Halimaton Shaadiah (tengah) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Mayat kepada isteri mangsa kemalangan, Nur Azlina (kiri) sambil diperhatikan Shaharuddin sempena Program Jelajah Skuad Perkeso Prihatin Perkeso Kedah semalam.
Halimaton Shaadiah (tengah) menyerahkan replika cek Faedah Pengurusan Mayat kepada isteri mangsa kemalangan, Nur Azlina (kiri) sambil diperhatikan Shaharuddin sempena Program Jelajah Skuad Perkeso Prihatin Perkeso Kedah semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang balu kepada mangsa kemalangan jalan raya di Jalan Pokok Sena di sini pada 17 Ogos lepas tidak menyangka Allahyarham suaminya mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Nur Azlina Mohamad, 31, berkata, dia terkejut apabila menerima Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Orang Tanggungan selepas tiga hari pemergian Allahyarham suami, Azeren Maseri, 37.

Menurutnya, Allahyarham suaminya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan sejak tujuh tahun lepas tidak pernah menceritakan perkara itu kepadanya.

"Saya tidak pernah tahu arwah suami mencarum dengan Perkeso kerana selama ini dia tidak pernah cerita apapun berkaitan caruman itu kepada kami sekeluarga.

"Walaupun begitu saya bersyukur menerima faedah berkenaan, yang mana akan digunakan untuk membesarkan anak kami, Muhammad Afiq Ikram,7 dan Muhammad Akif Danish, 5," katanya kepada Sinar Harian.

Nur Azlina yang hamil tujuh bulan anak ketiga mereka berkata demikian ketika ditemui dalam Program Jelajah Skuad Perkeso Prihatin Perkeso Kedah di Kampung Tanjung Besar, Kubang Rotan semalam.

Turut hadir, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Halimaton Shaadiah Saad dan Pengarah Perkeso Kedah, Shaharuddin Waled.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya Isnin lepas merupakan pekerja pembersihan di Bayu Hebat Sdn Bhd adalah pencarum aktif Perkeso.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, balu mangsa akan menerima Faedah Orang Tanggungan sepanjang hayat manakala anak-anaknya akan menerimanya sehingga berusia 21 tahun atau setelah tamat ijazah pertama yang dianggarkan hampir RM1,200 sebulan.

"Selain itu, balu mangsa turut menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000," katanya.

Halimaton Shaadiah berkata, Faedah Perkeso berkenaan adalah kelebihan kepada pencarum Perkeso selari dengan fungsi Perkeso dalam menjamin keselamatan sosial terhadap pencarum serta tanggungan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!