Nik Akif Syahiran bukan untuk dijual
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak berhasrat menjual pemain tengah The Red Warriors (TRW), Nik Akif Syahiran Nik Mat dengan harga RM1 juta.
Sebaliknya menurut Naib Presiden KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid, perkara itu adalah kenyataan peribadi Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman.
"Sebenarnya KAFA tidak pernah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat sebelum ini dan tidak mengeluarkan kenyataan itu secara rasmi.
"Segala keputusan berhubung masa depan TRW akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Isu penjualan pemain muda itu sebelum ini mendapat perhatian media dan kritikan daripada bekas pemain dan penyokong TRW.
Tambah Ahmad Muzakkir berkata, pihaknya akan mendedahkannya kepada semua pihak termasuk penyokong apabila kata sepakat sudah dicapai.
“Saya melihat kenyataan itu lebih bersifat peribadi dan spontan yang dilontarkan oleh beliau (Husin) ketika menjawab persoalan dari pihak pemberita terutamanya berkait masalah hutang semasa TRW,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Husin menegaskan KAFA sedia melepaskan pemain itu ke pasukan baharu dengan nilai RM1 juta bagi melangsaikan hutang lapuk persatuan itu yang difahamkan RM4.6 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!