SAKJ jadi benteng moral, pemikiran masyarakat Islam
JOHOR BAHRU - Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) diminta menjadi benteng moral dan pemikiran masyarakat Islam dengan menjadi institusi pendidikan agama paling komprehensif dan terbaik di negeri Johor.
Menteri Besarnya, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sekolah agama di negeri berkenaan mesti sebenar-benarnya berfungsi sebagai gedung ilmu.
"Kita mahu sekolah-sekolah agama kita menjadi gedung terbaik untuk menuntut ilmu. Bukan sekadar hidup segan, mati tak mahu. Malah, kita ingin pendidikan agama mempunyai roh dan misi baharu. Bukan sekadar mengajar segala yang fardu dan segala yang kifayah," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1442/2020 di Pusat Islam Iskandar di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi; Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Md Rofiki A Shamsudin.
Bekas Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Samsudin, 71, menerima Anugerah Maal Hijrah Tahun 1442 Peringkat Negeri Johor manakala Pengerusi Program dan Aktiviti Pusat Hidayah Batu Pahat, Nur Salina Pei Abdullah, 32, menerima Anugerah Maal Hijrah Saudara Kita dan Ahli Persatuan Orang Asli Malaysia, Yusri Abullah, 40, menerima Anugerah Maal Hijrah Orang Asli.
Katanya, nilai-nilai Islam itu adalah pemboleh ubah yang penting dalam mengecapi kehidupan yang sejahtera sama ada dalam konteks ekonomi, governans mahupun kesejahteraan rakyat secara amnya.
Hasni berkata, terdapat pelbagai cara dan pelbagai pendekatan yang akan digunakan kerajaan negeri dalam pentadbirannya.
"Umpamanya, governans kerajaan Johor, harus kita sandarkan dengan nilai amanah pada tahap tertinggi kerana amanah itu adalah nilai yang sangat penting dalam sistem governans Islam.
"Kita akan galakkan masyarakat Johor membayar zakat dan bukanlah memaksa. Kita mahu masyarakat sedar bahawa dalam setiap rezeki yang diperolehi, ada bahagian orang lain yang lebih memerlukan," katanya.
Pihaknya juga akan menggalakkan masyarakat untuk suka berwakaf, berinfaq dan bersedekah sepanjang masa iaitu bukan dalam Ramadan sahaja.
Kerajaan negeri katanya, akan memperkasakan sistem pengurusan wakaf dan infaq dengan penggunaan big data serta 'artificial intelligence'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!