Saudara baharu perlu bimbingan
KUANTAN - Mualaf di negeri ini masih memerlukan bimbang secara berterusan kerana pengetahuan agama mereka masih rendah.
Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation (HCF) Cawangan Pahang, Abdullah Fauzi, 27, berkata, kebanyakan saudara baharu perlu didedahkan dengan lebih banyak ilmu pengetahuan.
Menurutnya, ini kerana masih ramai diantara mereka tidak dapat mendalami ilmu agama dengan baik untuk mereka amalkan dengan lebih sempurna.
“Mereka ini saudara baharu jadi memang memerlukan bimbangan secara berkala, kita menitikberatkan kehidupan selepas memeluk Islam, ini asas paling utama untuk mereka menganuti agama ini.
“Justeru, mereka ini perlu mendapatkan pendidikan khas mengenai agama agar mereka mengetahui bagaimana cara mengerjakan solat, rukun-rukun dalam solat, apa yang perlu dibaca.
“Sebab ada yang kita jumpa mualaf ini solat tetapi mereka tidak membaca perkara asas dalam solat sebab tidak tahu, jadi tugas kita adalah membimbing mereka,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan itu pihaknya sentiasa memastikan mualaf sendiri mendapat pembelaan sewajarnya kerana mereka perlu diberikan kefahaman mendalam mengenai cara hidup Islam.
“Sebab itu HCF sanggup membantu mualaf dengan membimbing mereka mengaji, mengerjakan solat dengan betul dan ajaran-ajaran Islam yang lain.
“Ini semua kita lakukan supaya mereka suka dengan Islam dan tidak kembali ajaran asal mereka, justeru kena berikan dakwah sempurna buat mereka ini,” katanya.
Dalam pada itu, Abdullah berkata, pihaknya akan memastikan mualaf dibawah seliaanya mendapat ilmu agama sebaiknya.
Tambahnya, jika ada mualaf mempunyai pelbagai masalah untuk mempelajari ilmu agama, pihaknya akan berusaha membantu.
“Setakat ini kita ada 43 mualaf di bawah seliaan HCF, kalau mereka ada masalah pengangkutan, guru agama akan pergi ke rumah mereka, niat kita hanya untuk membimbing mereka.
“Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang turut mengadakan pelbagai program membantu mualaf ini, jadi tidak perlu memencilkan diri,” katanya.
Menurut, HCF juga mengadakan pelbagai program membantu kebajikan golongan ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!