Pejuang puas hati bantuan jentera PH
TANJUNG MALIM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berpuas hati dengan bantuan yang diberikan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang membantu calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi pada Pilihan Raya Kecl (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Pemimpin Pejuang, Datuk Marzuki Yahya berkata, beberapa pemimpin PH juga turut berkampung selama beberapa hari di DUN Slim untuk berkempen bersama calon.
Menurutnya, pemimpin-pemimpin daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP sudah pun turun seluruh kawasan di DUN untuk berkempen.
"Alhamdulillah, saya amat berpuas hati. Hari ini pun saya bersama Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang yang banyak membantu. Dua hari lalu pemimpin Amanah juga telah berkampung selama dua hari, mereka banyak membantu di kawasan-kawasan di sini, begitu juga rakan-rakan DAP.
"Saya amat menghargai bantuan dan sokongan mereka untuk memastikan calon menang," katanya kepada pemberita selepas menemani Amir Khusyairi melawat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, di sini hari ini.
Mengenai lawatan ke BBP Slim River, Marzuki berkata, kehadiran mereka bersama beberapa pemimpin tempatan bertujuan memberi penghargaan kepada petugas yang menjadi barisan hadapan mengawal koronavirus (Covid-19).
Dalam pada itu, beliau melihat berlaku perubahan positif terhadap calon Bebas yang berada di dalam pasukan PH sekali gus mempunyai peluang untuk memenangi PRK DUN Slim.
Menurutnya, Amir Khusyairi mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sepanjang kempen ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!