Ketua pembangkang Rusia didakwa diracun
MOSCOW - Doktor di Rusia berusaha menyelamatkan nyawa pemimpin pembangkang, Alexei Navalny selepas beliau dikejarkan ke rawatan intensif di Siberia didakwa akibat diracun.
Navalny, 44, tidak sedarkan diri ketika dalam penerbangan ke Moscow sebelum pesawatnya melakukan pendaratan cemas.
Beliau yang merupakan seorang peguam dan jurukempen antirasuah adalah antara pengkritik paling lantang Presiden Rusia, Vladimir Putin.
"Doktor melakukan semua yang terbaik. Mereka berusaha untuk selamatkan nyawanya," kata timbalan ketua doktor, Anatoly Kalinichenko di Omsk.
Jurucakap Navalny Kira Yarmysh berkata, Navalny diletakkan dalam keadaan koma dengan bantuan alat pernafasan dan ujian sedang dijalankan.
"Navalny mengalami keracunan toksik. Beliau kini dalam rawatan intensif. Saya yakin ia adalah keracunan yang disengajakan," katanya kepada stesen radio Echo of Moscow.
Kata Yarmysh, pihaknya tidak menolak kemungkinan Navalny diracun dengan sesuatu yang dicampur ke dalam teh kerana ia satu-satunya minuman yang diminumnya pada pagi tersebut.
Sementara itu, ketua jabatan undang-undang Yayasan Pencegahan Rasuah, Vyacheslav Gimadi menerusi Twitternya berkata, Navalny mungkin diracun kerana kedudukan dan aktiviti politiknya.
Pada 2017, matanya mengalami kecederaan selepas penyerang melemparkan pewarna hijau kepadanya di luar pejabatnya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!