APM jadi tenaga pelatih utama program baharu ganti PLKN, BTN
MELAKA - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menjadi tenaga pelatih utama bagi mengendalikan program baharu menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) yang masih dalam perancangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, langkah itu bagi memastikan tenaga kerja sedia ada digunakan sebaiknya dan ia akan dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
"Kita sedang memperhalusi skop pembentukan program baharu tersebut, lebih merangkumi semua kaum, paling utama adalah untuk memahami sejarah, patriotisme dan menjadi pemimpin masa depan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Warga APM Melaka, di sini, malam ini.
Menurutnya, pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada kementerian terlibat sebelum perancangan berkenaan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat untuk diluluskan.
Pada majlis itu, seramai 31 orang terdiri daripada ahli akademik dan profesional menerima watikah Pegawai Kehormat dan Bersekutu Pertahanan Awam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!