Usaha tingkat nilai eksport halal

Antara peserta yang terlibat dalam salah satu program latihan "Certified Halal Executive Program” (CHEP) di bawah selian HDC yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada Februari lepas. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Antara peserta yang terlibat dalam salah satu program latihan "Certified Halal Executive Program” (CHEP) di bawah selian HDC yang dianjurkan di Kuala Lumpur pada Februari lepas. -Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

HALAL Development Corporation (HDC) terus komited mencipta ruang pasaran dalam usaha meningkatkan nilai eksport halal Malaysia dan terbaru melalui Halal Integrated Platform (HIP) yang sedang dibangunkan.

HIP bakal menjadi hab perdagangan dalam talian bagi menghimpunkan 200,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang terlibat dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan halal.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, HIP dibangunkan sebagai ‘rumah’ kepada PKS yang berpotensi untuk berkembang dengan lebih baik dalam ekosistem halal.

Menurutnya, usaha itu mengambil kira potensi besar yang dimiliki PKS untuk melonjakkan nilai eksport halal negara ini namun perlu dibantu dari aspek pensijilan halal dan pembangunan keupayaan khususnya.

“Walaupun tanpa sijil halal, mereka boleh mendaftar melalui platform ini dan kita akan membantu syarikat untuk mendapatkan sijil halal dan seterusnya berkembang lebih baik dalam ekosistem halal.

“Bagi 2020 sahaja sebanyak 20 rakan kongsi terdiri daripada agensi kerajaan dan pembekal perkhidmatan termasuk bank, syarikat insurans dan logistik turut terlibat dalam HIP bagi membantu PKS untuk lebih bersedia memenuhi kriteria sebagai pengeksport,” katanya pada sesi wawancara khas bersama media di ibu kota baru-baru ini.

Jelasnya, inisiatif yang dilaksanakan melalui HIP adalah salah satu usaha utama bagi mencapai sasaran nilai eksport halal Malaysia sebanyak AS$100 bilion (RM417 bilion) menjelang 2030 berbanding AS$10 bilion (RM41 bilion) pada masa sekarang.

Menurutnya, sasaran itu penting sebagai satu penanda aras dalam usaha mengimbangi nilai import halal negara yang kini berjumlah AS$25 bilion (RM104 bilion) dan dijangka akan meningkat sehingga AS$80 bilion (RM333 bilion) menjelang 2030.

Artikel Berkaitan:

“Saiz pasaran halal global sekitar AS$3 trilion (RM12 trilion) tapi malangnya eksport halal Malaysia yang masuk dalam pasaran ini hanya kira-kira AS$10 bilion (RM41 bilion) pada masa ini.

“Jumlah AS$3 trilion ini diambil kira berdasarkan permintaan daripada pengguna Muslim. Jika dimasukkan sekali permintaan daripada pengguna bukan Muslim, jumlah itu boleh mencapai AS$30 trilion (RM125 trilion).

“Ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap produk halal melangkaui aspek agama kerana pengguna bukan Islam juga mencari produk halal kerana kualiti yang tinggi termasuk dari segi keselamatan untuk digunakan khususnya ketika krisis penularan Covid-19 sekarang ini,” katanya.

Ekosistem

Justeru, katanya, HDC sedia berperanan dalam membantu meningkatkan jumlah syarikat yang mahu mendapatkan sijil halal dari Malaysia.

“Sebanyak 90 peratus daripada 1.3 juta syarikat berdaftar adalah PKS dan daripada jumlah itu 200,000 PKS terlibat dalam perniagaan digalakkan berkaitan sektor halal. Namun, hanya 7,000 telah mendapat sijil halal.

“Maksudnya, syarikat PKS lain perlu mendapatkan sijil halal bermula sekarang dan HDC boleh membantu mereka mendapatkanya,” katanya. Hairol berkata, HIP yang bakal dilancarkan pada suku pertama 2021 akan menggabungkan semua elemen ekosistem halal secara maya sebagai satu bentuk kemudahan untuk meningkatkan keupayaan jenama dan kapasiti produk.

Katanya, platform tersebut juga mampu mewujudkan perdagangan antara syarikat yang terlibat.

“Apabila ada 200,000 PKS dalam satu platform, maka akan berlaku permintaan dan pengeluaran aktif yang akan mewujudkan permintaan, sekali gus menjadi pengeluar atau pembekal. Jadi, mereka boleh mewujudkan perdagangan antara mereka melalui platform dalam talian tersebut.

“Peranan HDC untuk pastikan PKS kita bersedia untuk mendapatkan sijil halal dengan menyasarkan sehingga 4,000 pemohon yang berkualiti setiap tahun untuk dihantar ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk diluluskan kerana kita amat perlukannya untuk meningkatkan jumlah syarikat yang mempunyai sijil halal untuk meningkatkan eksport halal kita,” katanya.

Kerjasama

Pada masa sama, Hairol berkata, HDC juga mengambil langkah bekerjasama dengan negara seperti Jepun, Taiwan dan Korea Selatan untuk mengiktiraf pasar raya mesra Muslim bagi mewujudkan pasaran yang lebih luas kepada produk halal Malaysia.

Katanya, usaha sama turut disasarkan kepada China, Vietnam dan Indonesia dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Apabila kita mengiktiraf, mereka perlu import produk halal. Jadi, mereka perlu import dari Malaysia. Walaupun bukan produk yang dibuat oleh lokal tapi sekurang-kurangnya melalui Malaysia dan secara ideal perdagangan akan berlaku melalui platform ini.

“Kita tidak tunggu untuk pasaran sedia ada memberi ruang kepada kita tapi kita mencipta pasaran kita sendiri untuk pasarkan produk dan perkhidmatan kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!