Rumah Rezeki bantu penduduk bangkit selepas PKP
KOTA BHARU - Masjid Ayesha Kok Lanas melalui Baitul Rizk atau Rumah Rezeki tampil membantu golongan terjejas untuk bangkit meneruskan kelangsungan hidup selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Pengerusinya, Rohiman Othman berkata, bantuan yang keseluruhannya berjumlah RM15,000 itu disalurkan secara berperingkat dalam bentuk wang ringgit dan barangan keperluan makanan.
Katanya, golongan yang menerima bantuan termasuk mereka yang diberhentikan kerja, peniaga hilang punca pendapatan dan juga wanita dalam kalangan ibu tunggal, fakir miskin serta anak yatim.
“Sebelum PKP, mereka mempunyai punca pendapatan walaupun hanya cukup makan, tetapi apabila PKP dilaksanakan, ada yang mengadu diberhentikan kerja oleh majikan dan golongan inilah yang kita bantu untuk bangkit semula untuk meneruskan hidup.
“Bantuan disalurkan secara berperingkat melalui ahli jawatankuasa (AJK) masjid melalui rumah ke rumah manakala hari ini pertama kali agihan diadakan di masjid selepas PKP,” katanya ketika ditemui selepas Perasmian Baitul Rizk Masjid Ayesha di Kok Lanas di sini hari ini.
Perasmian disempurnakan Pegawai Pengimarahan Masjid, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Rosli Che Soh.
Beliau berkata, usaha penubuhan Baitul Rizk dimulakan sejak dua tahun lalu dan memilih Awal Muharram untuk dirasmikan bagi mengambil keberkatan tahun baharu dalam kalendar Islam.
“Baitul Rizk atau yang bermaksud rumah rezeki ini adalah hub kebajikan yang ditubuhkan bukan sahaja sebagai tempat menimba ilmu dan solat berjemaah malah terbuka sebagai medium ahli jemaah mengadu masalah kesempitan hidup berkenaan wang ringgit dan makanan asasi.
“Baitul Rizk juga bukan sekadar tabung tetapi adalah sebuah rumah khas yang dibina di kawasan masjid dan menempatkan barangan makanan bagi golongan yang memerlukan, mereka boleh datang mengadu di sini jika memerlukan bantuan kami. Insya-Allah, semua kami akan bantu,” katanya.
Dalam pada itu, di majlis berkenaan, sejumlah 40 penerima termasuk 13 ibu tunggal dan sembilan anak yatim menerima sumbangan wang ringgit dan barangan makanan seperti beras, tepung, gula serta minyak masak.
“Penubuhan rumah rezeki ini juga bertujuan merapatkan hubungan seluruh jemaah dan penghulu kampung di mukim ini selain mendorong lebih ramai golongan penderma memberi sumbangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!