Tiga lelaki Bangladesh gagal lepasi sekatan jalan raya

Kereta yang digunakan membawa tiga lelaki Bangladesh dari Sentul sebelum ditahan di sekatan jalan raya Jalan Napoh, Changloon menghala ke Padang Sera, Kodiang petang semalam. -Foto Polis Kubang Pasu
Kereta yang digunakan membawa tiga lelaki Bangladesh dari Sentul sebelum ditahan di sekatan jalan raya Jalan Napoh, Changloon menghala ke Padang Sera, Kodiang petang semalam. -Foto Polis Kubang Pasu
A
A
A

JITRA - Seorang pemandu teksi persendirian ditahan bersama tiga warganegara Bangladesh di sekatan jalan raya Jalan Napoh, Changloon menghala ke Padang Sera, Kodiang kerana tidak mempunyai sebarang pasport manakala kad permit kerja mereka pula disyaki palsu pada jam 5.10 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pemandu teksi tersebut yang merupakan wanita tempatan berusia 33 tahun menjelaskan ini kali pertama dia berurusan dengan tiga lelaki terbabit yang meminta dihantar ke Keteri, Perlis.

Menurutnya, wanita tersebut telah dihubungi seorang lelaki Bangladesh yang dikenalinya pada Rabu lalu untuk mengambil tiga lelaki berkenaan di Sentul, Kuala Lumpur dan menghantar ke Keteri dengan bayaran RM450 namun masih belum terima sebarang pembayaran.

"Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga warganegara Bangladesh berusia 30, 33 dan 36 tahun itu tidak mempunyai sebarang pasport manakala kad permit kerja pula disyaki palsu. Mereka sudah berada di negara ini hampir tiga tahun dan pernah bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur dan di kilang perabot di Sentul.

"Tujuan mereka ke Keteri adalah untuk mencari pekerjaan dan pemandu teksi persendirian itu pula memaklumkan ini kali pertama dia berurusan dengan tiga lelaki Bangladesh tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, semasa tangkapan dibuat, pemandu teksi tersebut berada di bahagian pemandu manakala ketiga-tiga lelaki berkenaan berada di bahagian penumpang bahagian belakang.

"Kereta berwarna hitam jenis Vios yang digunakan turut dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!