PKNS berjaya realisasi misi, visi

Dari kiri: Ishak, Azmi, Mohd Azizi dan Azilah menunjukkan salah satu model projek perumahan yang dibangunkan PKNS. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dari kiri: Ishak, Azmi, Mohd Azizi dan Azilah menunjukkan salah satu model projek perumahan yang dibangunkan PKNS. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SELEPAS 56 tahun penubuhannya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya merealisasikan misi dan visinya dalam membina komuniti, memperkasakan kehidupan, merealisasikan impian rakyat Selangor untuk memiliki kediaman serba lengkap.

Kejayaan itu sekali gus membentuk persekitaran kehidupan yang vibran dan lestari menerusi inovasi berterusan serta perkhidmatan melangkaui ekspektasi kepada pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sehingga kini PKNS berjaya menyediakan lebih 200,000 unit kediaman yang kondusif kepada rakyat Selangor.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada tahun 1964, PKNS mewujudkan 11 bandar baharu antaranya termasuk Shah Alam, Kota Damansara, Kelana Jaya, Bandar Sultan Suleiman, Antara Gapi, Bernam Jaya, Kota Puteri, Selangor Cyber Valley, Rasa, Petaling Jaya dan Ampang.

“Ini merupakan antara kejayaan-kejayaan yang dicapai PKNS dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat di negeri ini.

“Selain itu, kita turut membina perumahan mewah untuk memberikan pilihan kepada pelanggan walaupun jualannya sedikit perlahan berbanding projek perumahan mampu milik dengan harga RM500,000 ke bawah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi wawancara bersama media sempena sambutan ulang tahun ke-56 PKNS di ibu pejabatnya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah, Azmi Adnan; Pengurus Kanan Jualan Hartanah Wilayah Tengah, Ishak Hashim dan Pengurus Kanan Jualan Hartanah Wilayah Utara, Azilah Arshad.

Artikel Berkaitan:

Cabaran

Mengulas mengenai cabaran yang dilalui sepanjang penubuhannya sejak 56 tahun lalu, Mohd Azizi mengakui PKNS turut berdepan situasi getir namun berjaya mengharunginya dengan baik.

Malah, katanya, PKNS turut terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini apabila penjualan unit-unit kediaman yang sudah siap dibina agak perlahan.

“Untuk menangani masalah itu kita mempelbagaikan perniagaan yang sebelum ini menjurus kepada sektor perumahan dan hartanah dengan hampir 60 peratus anak-anak syarikat milik PKNS terlibat secara langsung dalam sektor ini.

“Kita ada 11 anak syarikat yang kesemuanya terlibat dalam sektor pembinaan sama ada secara langsung atau sebaliknya. Bagaimanapun, PKNS masih memiliki anak-anak syarikat yang terlibat dalam sektor lain seperti penjagaan kesihatan, penganjuran seminar, tenaga dan perhotelan yang mampu menjana pendapatan kepada syarikat,” katanya.

Mohd Azizi berkata, untuk perancangan 10 tahun akan datang, PKNS perlu melibatkan diri dengan membina kediaman bagi golongan M40 dan melaksanakan projek pembinaan semula di kawasan yang strategik.

Mohd Azizi
Mohd Azizi

“Walaupun kita masih belum terlibat dalam projek pembinaan semula ini tetapi perhatian perlu diberikan dalam jangka masa 10 tahun akan datang.

“Malah, jika kita mempunyai kemampuan kewangan, kita juga perlu meningkatkan kapasiti landbank yang ketika ini sudah berkurangan. Jadi kita kena cari tanah atau kawasan baharu untuk dimajukan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, selain fokus kepada perniagaan, PKNS juga tidak lupa melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat apabila turut terlibat dalam menyediakan kemudahan hospitaliti kepada frontliner ketika negara berdepan dengan Covid-19 menerusi rangkaian anak syarikatnya Hotel De Palma.

Diskaun

Dalam pada itu, Mohd Azizi berkata, pelanggan akan ditawarkan diskaun sehingga 20 peratus menerusi Program 48 Jam PKNS Merdeka Bonanza yang akan berlangsung di Galeria & Dataran Bisnes, Bangunan Ibu Pejabat PKNS pada 29 dan 30 Ogos ini.

Menurutnya, program yang memasuki edisi kelima sejak dianjurkan November tahun lalu itu melibatkan lapan projek di bawah PKNS termasuk tiga projek perumahan Antara Gapi iaitu rumah link dua tingkat (Widuri), rumah berkembar dua tingkat (Cassia dan Azhara).

“Selain Antara Gapi, lima lagi projek perumahan yang turut ditawarkan kepada pelanggan adalah di Bernam Jaya (Rafflesia), Kota Puteri (Puteri Elaisha), Shah Alam (Opal Residensi), Kuala Selangor (Bayu Malawati) dan Alam Nusantara (Anggun Kirana).

“Melalui program ini juga kami turut menawarkan yuran guaman SPA dan duti setem MOT percuma kepada projek-projek terpilih selain tawaran lain yang lumayan seperti baucar Harvey Norman, hiasan dalaman, pendingin hawa dan lain-lain lagi,” katanya.

Mohd Azizi berkata, pihaknya mensasarkan nilai jualan sebanyak RM10 juta bagi program yang akan berlangsung hujung bulan ini selain menyediakan pelbagai lagi tawaran menarik pada jualan penghujung tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!