Pemuda OKU cedera ketika mendaki
MARAN - Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) berjaya diselamatkan selepas tercedera ketika mendaki di Bukit Kertau, di sini semalam.
Pemuda berusia 29 tahun itu yang mengalami masalah pembelajaran mengalami kecederaan di kaki kirinya selepas tergelincir ketika mendaki bukit terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran, Penolong Penguasa, Samsul Effendi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 11.12 pagi.
"Difahamkan mangsa mendaki bersama beberapa orang lain pada pagi semalam sebelum dia mengalami kecederaan.
"Seramai enam anggota dari BBP Maran, enam lagi anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke lokasi kejadian.
"Apabila tiba, pihak bomba memberikan rawatan awal sebelum dibawa turun menggunakan pengusung kira-kira jam 2 petang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa diserahkan kepada pihak Klinik Kesihatan Chenor untuk rawatan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!