Polis tumpaskan sindiket perjudian online, loteri haram
PETALING JAYA - Polis menumpaskan satu sindiket perjudian online dan loteri haram yang beroperasi secara terbuka di gerai makan di Taman Medan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, seramai 11 lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 46 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 6 petang itu.
"Kita mendapati lima lelaki termasuk tiga penganjur terlibat dalam kegiatan judi online manakala enam suspek lagi membabitkan tangkapan loteri haram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini hari ini.
Nik Ezanee berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket judi online itu sudah beroperasi selama dua bulan dan mereka mensasarkan warga tempatan sebagai pelanggan.
“Mereka (sindiket) mempromosikan kegiatan judi jenis mesin slot di laman sosial serta WhatsApp bagi menarik kaki judi melakukan pertaruhan,” katanya.
Beliau berkata, tangkapan membabitkan loteri haram pula mendapati penganjurnya menerima bayaran gaji berjumlah RM1,500 sebulan bagi menjalankan kegiatan tersebut.
“Suspek (penganjur) beroperasi bermula jam 2 hingga 7 malam dan iklan promosi loteri haram itu dibuat menerusi aplikasi yang sama.
“Dalam serbuan itu kita turut merampas wang tunai berjumlah RM240, enam telefon bimbit dipercayai digunakan untuk kegiatan loteri haram,” katanya.
Menurutnya, kesemua suspek akan direman bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 9(1) dan Seksyen 4(1)(c) akta yang sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!