Kes saya tak pengaruhi pengundi DUN Slim, kata Najib

Najib ketika turun berkempen membantu calon BN sempena PRK DUN Slim. - Foto FB Najib Razak
Najib ketika turun berkempen membantu calon BN sempena PRK DUN Slim. - Foto FB Najib Razak
A
A
A

TANJUNG MALIM - Strategi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Pakatan Harapan (PH) memainkan isu kes mahkamah yang dikenakan terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk membantu calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi tidak memberi kesan kepada pengundi.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, isu-isu yang dimainkan oleh mereka tidak akan menjejaskan sokongan pengundi terhadap BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Menurutnya, sambutan pengundi di DUN Slim terhadap program-program BN juga amat memberangsangkan.

"Itu memang dijangka. Mereka akan memainkan isu itu (keputusan mahkamah yang dikenakan terhadap beliau) tapi dalam kalangan pengundi mereka tak ambil kira soal itu.

"Saya tak fikir apa yang berlaku pada diri saya itu mempengaruhi keputusan PRK Slim, sebaliknya simpati rakyat bertambah," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Media PRK N.58 Slim, Slim River di sini hari ini.

Sementara itu, Najib berkata, BN dijangka memperoleh pertambahan majoriti undi pada PRK DUN Slim seperti mana PRK terdahulu bermula di PRK Parlimen Cameron Highlands.

Menurutnya, kerjasama jitu Muafakat Nasional dengan sokongan rakan-rakan BN seperti Parti Makkal Sakti Malaysia akan memberikan hasil positif memenangkan calon BN.

"Alhamdulillah sambutan pengundi terhadap calon BN amat memberangsangkan. Di mana majlis yang diadakan secara besar-besaran atau rumah ke rumah, reaksi diberikan baik.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang diharapkan, insya-ALLAH mereka sokong calon kita. Kita akan teruskan usaha kempen," katanya.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN terdahulu membuat beberapa lawatan di sekitar DUN Slim berkempen membantu calon BN pada PRK kali ini.

PRK DUN Slim menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon BN, Mohd Zaidi dan dua calon Bebas, Amir Khusyairi dan Dr S Santharasekaran.

Hari Mengundi bagi PRK DUN Slim ditetapkan pada 29 Ogos depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!