Dua sahabat lemas

Mayat Muhammad Amirul dan Muhammad Aidil Ashman ditemui kira-kira 50 meter dari pesisir pantai jam 9 pagi tadi.
Mayat Muhammad Amirul dan Muhammad Aidil Ashman ditemui kira-kira 50 meter dari pesisir pantai jam 9 pagi tadi.
A
A
A

KUALA NERUS - Dua sahabat lemas ketika mandi-manda di tepi pantai Kampung Tanjung, Seberang Takir kira-kira jam 7 pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Muhammad Amirul Zulkafli, 15, dan Muhammad Aidil Ashman Abdul Manan, 16, dari Kampung Seberang Takir mandi di pantai tersebut selepas selesai joging.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Yusmizan Yusof berkata, mangsa bersama lima rakan mengambil kesempatan mandi di pantai berkenaan selepas joging ketika air surut dan tidak menyedari air pasang secara tiba-tiba.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian hilang dibawa arus sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.37 pagi.

“Sebaik menerima laporan, seramai 14 anggota daripada BBP Kuala Nerus dengan bantuan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuala Terengganu digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat,” katanya.

Mayat Muhammad Amirul dan Muhammad Aidil Ashman berjaya ditemui di tempat yang sama mangsa dilaporkan lemas pada jarak kira-kira 50 meter dari pesisir pantai jam 9 pagi tadi.

Yusmizan berkata, mayat mangsa dijumpai pada kedalaman tiga meter di dasar dan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!