MDKS sita alatan penjaja gaji warga asing
KUALA SELANGOR - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menyita peralatan niaga membabitkan dua peniaga tempatan di hadapan sebuah pasar raya dan Jalan Kereta Api Lama di sini dalam operasi dijalankan pada 10 Ogos lalu.
Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, dua penjaja berkenaan dikenakan tindakan itu atas kesalahan mengambil warga asing sebagai pembantu selain menjalankan perniagaan tanpa lesen dan permit yang sah.
"Operasi disertai seramai 11 anggota penguat kuasa MDKS bermula dari jam 3.30 petang berakhir jam 7 malam.
"Buah-buahan pelbagai jenis dan peralatan penjaja disita di bawah Undang-Undang Kecil 42(1) Undang-Undang Kecil Penjaja (MDKS) 2007
Rahilah berkata, peniaga tidak dibenarkan mengambil pembantu atau pekerja warga asing di bawah lesen penjaja selaras dengan dasar dan arahan kerajaan negeri.
"Permohonan untuk mengambil pembantu atau pekerja hendaklah daripada warganegara Malaysia sahaja," katanya.
Menurutnya, dalam operasi dijalankan itu, seorang penjaja buah-buahan warga tempatan di hadapan sebuah restoran makanan segera turut diarahkan menutup operasi perniagaan serta-merta selepas didapati menjalankan perniagaan tanpa permit yang sah daripada MDKS.
"MDKS mengarahkan penjaja berkenaan memohon permit serta berpindah ke lokasi yang telah ditetapkan untuk penjaja buah bermusim," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!