Kanak-kanak hidap kanser ceria terokai Oceanarium
MELAKA TENGAH - Lions Club Tanjung Bidara mengambil inisiatif menyantuni dan menceriakan 13 pesakit kanser kanak-kanak dengan membawa mereka menerokai The Shore Oceanarium secara percuma.
Presidennya, Lee Hong Jin berkata, ia sebagai satu program amal bagi meraikan kanak-kanak dari National Society Malaysia Cawangan Melaka sekali gus dapat melupakan seketika kesakitan yang terpaksa dilalui.
Menurutnya, selain meluangkan masa bersama kanak-kanak, mereka juga dapat mempelajari ilmu pengetahuan untuk dikongsi bersama rakan-rakan lain.
“Salah satu tanda keprihatinan kami mendekati golongan seperti ini dengan memberi peluang mereka melihat pelbagai jenis hidupan laut dengan lebih dekat.
“Apa yang kami harapkan usaha sebegini dapat diteruskan supaya kanak-kanak ini tidak merasakan dirinya dipinggirkan masyarakat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Hadir sama, Pengurus Jualan dan Pemasaran The Shore Oceanarium, Agnes Wong dan Gabenor Daerah Lions Club Malaysia, Michelle Mok.
Dalam pada itu, delegasi cilik berkenaan turut diberi peluang merasai pengalaman menggunakan teknologi baharu seperti ‘virtual shark cage’ dan ‘cinema 3d plus theater with 8 in 1 special effects’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!