Polis cari empat suspek warga Arab curi barang kemas
BATU PAHAT - Polis sedang mencari dua lelaki dan dua wanita dipercayai berbangsa Arab selepas terlibat dalam kejadian curi barang kemas dianggarkan bernilai RM24,000 di sebuah kedai emas di bandar ini kira-kira jam 3 petang Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, kejadian berlaku apabila dua suspek perempuan masuk ke kedai emas berkenaan dan berpura-pura untuk membeli barang kemas di kedai tersebut.
Azhan berkata, suspek kemudiannya meminta pekerja kedai untuk mengeluarkan beberapa rantai emas dan dalam masa yang sama mengalih tumpuan pekerja tersebut bagi mengambil kesempatan mencuri tiga utas rantai emas.
“Kedua-dua suspek berkenaan kemudian keluar dari kedai emas dengan memberikan alasan untuk menukar wang dari kedai pengurup wang berhampiran sementara dua lelaki yang tidak dikenal pasti menunggu di luar premis.
“Kehilangan rantai emas berkenaan hanya disedari ketika pemeriksaan stok dilakukan dan laporan dilakukan pada 3.15 petang hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh berhubung di balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melalui talian 07-436 3300. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!