Malaysia, UK setuju benarkan pasangan diplomat bekerja

Muhammad Shahrul (kanan) bersama Hay pada Majlis Pertukaran Nota Diplomatik Persefahaman Kerja Dua Hala (BWA) antara Malaysia dan United Kingdom di Wisma Putra, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Muhammad Shahrul (kanan) bersama Hay pada Majlis Pertukaran Nota Diplomatik Persefahaman Kerja Dua Hala (BWA) antara Malaysia dan United Kingdom di Wisma Putra, Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan United Kingdom hari ini memeterai Perjanjian Kerja Dua Hala (BWA) bagi membolehkan pasangan pegawai diplomatik kedua-dua negara yang berkhidmat di Kuala Lumpur dan London diberikan peluang untuk bekerja.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob berkata, BWA adalah perjanjian dua hala yang turut membolehkan pasangan diplomat dari kedua-dua negara menambah nilai sepanjang mereka berada di negara yang berkenaan dan menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

"Mereka kini boleh mencari pekerjaan, bukan hanya untuk pendapatan tambahan tetapi juga menambah pengalaman dalam budaya kerja atau menyumbang kepakaran yang terpaksa mereka ketepikan disebabkan sekatan pekerjaan yang dikenakan ke atas pasangan pegawai perkhidmatan diplomatik," katanya.

Muhammad Shahrul berkata demikian kepada pemberita selepas bertukar nota diplomatik mengenai BWA dengan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Charles Hay, di Wisma Putra di sini hari ini.

Katanya, BWA adalah satu lagi pencapaian yang meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan United Kingdom yang telah pun mencakupi pelbagai bidang kerjasama iaitu politik dan keselamatan, pendidikan, perdagangan dan ekonomi serta pelancongan dan budaya.

Muhammad Shahrul berkata, perjanjian BWA bersama United Kingdom itu merupakan yang keenam bagi Malaysia dan kerajaan juga berharap untuk mengadakan kerjasama serupa dengan negara-negara lain.

Pemeteraian BWA yang pertama ialah dengan Amerika Syarikat pada 24 April 2014, diikuti India dan Perancis pada 27 Mac 2017 manakala Denmark pada 22 Mei dan Australia pada 4 Mac tahun ini, katanya.

Sementara itu, Hay berkata, terdapat enam pasangan pegawai diplomatik di Suruhanjaya Tinggi Britain yang ketika ini menunjukkan minat untuk mencari pekerjaan di Malaysia, khususnya dalam sektor profesional iaitu perundangan, bidang syarahan dan terjemahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!