Abdul Ghani Salleh dilantik Pengerusi SPR baharu
PUTRAJAYA - Datuk Abdul Ghani Salleh dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baharu manakala Datuk Nik Ali Mat Yunus sebagai Ahli SPR, masing-masing berkuat kuasa hari ini, umum Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Abdul Ghani, 62, sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha SPR.
Mohd Zuki berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Abdul Ghani dan Nik Ali sehingga mencapai usia 66 tahun selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
“Melalui kelayakan dan pengalaman yang dimiliki, diyakini mereka akan dapat menggalas amanah dan tanggungjawab sebagai Pengerusi dan Ahli SPR mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dengan sempurna," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Ghani bersara wajib sebagai Setiausaha SPR pada 10 Mei 2018 dan pernah memegang beberapa jawatan sebelum itu antaranya Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat dan Pegawai Daerah Gombak, Selangor.
Nik Ali, 62, pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi sebelum bersara wajib pada 19 Mei 2018.
Mohd Zuki turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Azhar Azizan Harun dan Datuk Seri Ramlan Ibrahim atas khidmat bakti mereka sepanjang menjawat jawatan masing-masing sebagai Pengerusi dan Ahli SPR. - Bernama
INFO - Bekas Pengerusi SPR
1. Datuk Mustapha Albakri Hassan (4 September 1957 - 15 Oktober 1967)
2. Tan Sri Datuk Ahmad Perang (16 Oktober 1967 - 9 Ogos 1977)
3. Tan Sri Datuk Abdul Kadir Talib (10 Ogos 1977 - 11 Oktober 1990)
4. Datuk Harun Din (12 Oktober 1990 - 20 Jun 1999)
5. Datuk Omar Mohd Hashim (21 Jun 1999 - 11 November 2000)
6. Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman (12 November 2000 - 30 Disember 2008)
7. Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (31 Disember 2008 - 24 Januari 2016)
8. Tan Sri Mohd Hashim Abdullah (24 Januari 2016 - 30 Jun 2018)
9. Datuk Azhar Azizan Harun (28 September 2018 - 29 Jun 2020)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!