Kisah cinta buat Malaysia jauh dari Sweden

Paparan skrin projek video dihasilkan dari kumpulan ini.
Paparan skrin projek video dihasilkan dari kumpulan ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Meskipun tidak berada di tanah air untuk meraikan Sambutan Hari Kebangsaan namun rakyat Malaysia di luar negara tetap mempunyai cara tersendiri bagi menyatakan kecintaan terhadap negara.

Buktinya, sekumpulan rakyat Malaysia di Sweden yang berbilang bangsa dan agama ini tampil dengan idea kreatif menghasilkan projek video nyanyian lagu patriotik.

Kumpulan yang terdiri golongan profesional, pelajar dan tukang masak itu turut membuktikan walaupun telah lama berhijrah ke luar negara, namun kecintaan terhadap tanah air tidak pernah luput.

Zainal Fitri
Zainal Fitri

Ketua projeknya, Zainal Fitri Abu Khair berkata, penghasilan video lagu patriotik atau merdeka itu bermula sejak tahun 2018 lagi dan setiap tahun menampilkan lagu yang berbeza.

Katanya, idea itu pada asalnya terhasil bertujuan mengumpulkan rakyat Malaysia di negara itu selain ingin menanamkan semangat patriotik dalam kalangan mereka.

"Tahun ini, kita menghasilkan lagu Standing In The Eyes of The World iaitu nyanyian asal daripada penyanyi popular Malaysia, Ella.

"Kita sedar walaupun sejauh mana kita berada, tanah air tidak pernah dilupakan dan sebab itulah kita hasilkan projek ini untuk mengingatkan rakyat kita di luar negara khususnya golongan muda.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, melalui projek ini juga secara tidak langsung dapat mempromosikan Malaysia kepada negara luar terutamanya Sweden," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Katanya, selain menghasilkan video patriotik, kumpulan mereka turut membuat video khas sambutan perayaan utama di Malaysia seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru China dan Deepavali.

Mengulas lanjut, Zainal Fitri yang telah 12 tahun menetap di Sweden berkata, kejayaan menghasilkan video patriotik itu mungkin tidak tercapai tanpa sokongan pihak Kedutaan Malaysia di Sweden dan juga Swedish Malaysian Association (SMA).

Katanya, kedua-dua pihak itu memainkan peranan penting merealisasikan idea berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai harapan melalui penghasilan video kreatif itu, beliau memberitahu semangat cintakan negara tidak pernah luntur dalam kalangan rakyat Malaysia walapun telah berhijrah ke negara lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!